Lim Guan Eng Kata Tidak Tahu Badan Pemikir Amerika Bantu PH Jatuhkan Kerajaan BN

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kerjasama dengan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menjelaskan, DAP tidak mempunyai sebarang hubungan mahupun kerjasama dengan badan pemikir Amerika Syarikat (AS) itu.

“Republikan parti bukannya ‘kegemaran’ DAP. Dakwaan ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya.

“DAP langsung tidak mempunyai sebarang hubungan atau kerjasama dengan IRI,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Presiden IRI, Daniel Twinning dalam forum anjuran Center for Strategic & International Studies baru-baru ini bahawa AS mendapat manfaat daripada pembentukan kerajaan baharu di bawah PH.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin ketika ditemui menafikan dakwaan bahawa Pakatan Harapan bekerjasama dengan IRI.

“IRI bagi saya adalah satu petubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat program-program melatih kepemimpinan dan sebagainya.

“Dakwaan bahawa IRI yang datang ke Malaysia untuk menjatuhkan kerajaan terdahulu adalah tidak benar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula tidak menafikan bahawa wujudnya kerjasama antara IRI dan PH namun pada masa sama, beliau menjelaskan kerjasama itu adalah dalam aspek latihan kepimpinan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui pula berkata, kerjasama IRI dengan Pakatan Harapan bukannya sesuatu yang aneh kerana badan pemikir itu turut bekerjasama dengan BN dan Gerakan.

“Saya rasa semua aktiviti yang kami lakukan dan jalankan adalah bersifat telus. Sudah tentu kami tidak bekerjasama dengan IRI bagi menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum lalu,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.