Haliza Letih Dengan ‘Pelakon Kayu’, Rayu Dalami Ilmu

Haliza Misbun tidak menolak kemungkinan bersara lebih awal daripada persada seni gara-gara penat melayan lakonan ‘kayu’ yang dihidangkan segelintir pelakon baru.

Disebabkan khuatir masa depan industri sekiranya isu berkenaan dibiarkan berlarutan, aktres itu menyeru pelakon baru supaya mengasah bakat dan mendalami ilmu lakonan.

Katanya, kini terdapat institusi menawarkan kursus sedemikian seperti Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Tuntutlah ilmu, tolonglah saya merayu. Pada masa depan mungkin selepas berakhirnya (filem) Pencuri Hati Mr Cinderella saya akan bersara, siapa tahu?

“Saya letih dan lelah setiap kali turun set, terasa sakit sendiri sebab terpaksa berlakon dengan ‘dinding’. Pelakon baru masuklah Aswara. Anda perlu belajar keluarkan dialog dari hati, menusuk di mata hingga terpancar di wajah,” katanya.

Haliza, 44, diminta mengulas mengenai isu kebanjiran artis baru yang hanya bersandarkan pada rupa dan jumlah pengikut tertinggi di media sosial berbanding keperluan untuk tampil sebagai pelakon berkaliber.

Pernah digam TV

Bukan itu saja, menurutnya, stesen televisyen yang mementingkan populariti berbanding bakat juga menyumbang kepada mutu lakonan yang buruk.

Akui Haliza atau lebih mesra disapa Liz itu, pernah suatu ketika dia digam oleh stesen televisyen kerana mempersoalkan isu pelakon yang memiliki rupa tetapi tiada bakat.

Walaupun demikian, Haliza tidak pernah serik untuk bersuara lantang.

Baginya, Haliza sekarang sama seperti dahulu walaupun selepas lama menyepikan diri.

Dia juga mahu industri lakonan diwarnai pelakon yang memang berbakat dan bukan individu bernilai komersial semata-mata.

“Kalau tidak mahu dunia hiburan terus dihidangkan dengan lakonan yang carca merba dan tidak memuaskan, kita kena berhenti mementingkan pelakon yang mempunyai jumlah pengikut ramai di Instagram.

“Saya pernah buat aduan mengenai hal ini hingga digam untuk jangka masa agak panjang, tetapi dalam hal ini, pihak stesen televisyen juga kena memainkan peranan mereka.

“Walaupun pernah digam, saya akan teruskan bersuara selagi mampu,” katanya penuh yakin.

Mesej untuk golongan muda

Haliza ditemui pada majlis tayangan media filem Pencuri Hati Mr Cinderella di Kota Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

Haliza adalah pelakon drama bersiri yang mencetus fenomena pada 1998, Cinderella dijemput bagi menjayakan filem terbaru arahan Ahmad Idham itu.

Berkongsi mengenai filem terbarunya, Haliza berkata, dia yakin penonton boleh memperoleh sesuatu daripada naskhah terbaru Idham yang akan ditayangkan bermula 10 Ogos depan.

“Bagi saya, Pencuri Hati Mr Cinderella amat menghiburkan selain boleh memberi mesej kepada anak muda supaya jangan terlalu taksub hidup seperti orang Barat, ambil pil dan tidur dengan perempuan.

“Kisah itu mengajar kita untuk bertanggungjawab atas setiap kesalahan dilakukan,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.