Saya Tolak Jadi PM Boneka Kepada Dr Mahathir – Najib

JAKARTA – Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau kini mempunyai dua pilihan sama ada mahu menjadi Perdana Menteri yang percaya kepada kepemimpinan atau mengikut telunjuk (boneka) Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Perdana Menteri berkata, jika memilih untuk mengikut kehendak bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak akan menjadi ketua kerajaan yang mutlak.

 

“Saya tidak akan menjadi Perdana Menteri yang mutlak, tetapi menjadi Perdana Menteri yang terpaksa mendengar kata-kata dia (Dr Mahathir),” katanya.

 

Justeru, Najib menjelaskan, beliau memilih untuk menjadi ketua kepada sebuah kepemimpinan yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.

 

“Tetapi saya tahu, Dr Mahathir tidak akan senang, sebab sejarah membuktikan bahawa dia sudah cuba serta menolak dan membuang ramai tokoh dalam pemerintahan sejak dulu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama stesen televisyen Indonesia, Metro TV ketika lawatan kerja tiga hari ke negara itu sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12, yang berakhir Khamis lalu.

 

Dalam temu bual oleh Rory Asyari yang disiarkan semalam itu, Najib juga ditanya mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, hubungan kedua-dua negara, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ancaman pengganas IS.

 

Mengenai IMDB dan ancaman pengganas, Najib mengulangi ia adalah isu permasalahan perniagaan, tetapi dijadikan isu politik oleh musuh-musuhnya termasuk kes saman sivil dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

 

“Hakikatnya, kerajaan yang pertama memutuskan untuk mengambil tindakan. Kami membentuk PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) yang terdiri daripada pegawai tinggi awam serta agensi lain seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), polis dan bank negara,” katanya.

 

Berhubung ancaman pengganas, Najib mengajak pemerintah Indonesia mengambil langkah seperti Malaysia dalam membanteras aktiviti keganasan.

 

“Kita perlu melakukan menerusi berbagai cara. Paling utama, kita mesti menyedarinya bahawa ia suatu ancaman yang nyata,” katanya.

 

Mengenai pekerja asing, hubungan dua hala Najib memberitahu stesen televisyen itu Malaysia mahu tidak ada lagi pekerja asing tidak sah, terutama dari Indonesia bekerja di negara ini kerana ia mengundang kepada masalah sosial.

 

“Kita menghargai tenaga kerja Indonesia yang membantu ekonomi Malaysia dalam pelbagai sektor, sebagai sumber tenaga yang penting. Namun kita menghendaki supaya tenaga kerja masuk ke Malaysia secara teratur dan mengikuti undang-undang dan peraturan,” katanya.

 

Beliau juga juga menjelaskan bahawa hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia ketika ini begitu akrab dan mahukan jalinan lebih utuh demi manfaat masa depan.

 

“Seperti dalam bidang ekonomi. Bagaimana kita boleh mengintegrasikan ekonomi Malaysia dan ekonomi Indonesia.

 

“Saya lihat dengan langkah Presiden (Indonesia), Jokowi (Joko Widodo) untuk membuka kemudahan pelaburan dan membina infrastruktur termasuk perumahan rakyat, semua ini boleh dilakukan oleh syarikat Malaysia,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.