Warga Asing Diusir Dari Malaysia Akibat Merompak

KUANTAN – Seorang warga asing dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan diusir keluar dari Malaysia oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, kelmarin.

 

Tertuduh, Salim Agus, 42, dijatuhkan hukuman selepas menukar pengakuan dengan mengaku bersalah atas pertuduhan merompak bersama-sama dua lagi rakannya, ke atas seorang lelaki berusia 50-an dengan menggunakan senjata empat batang pemutar skru, pisau pemotong daging dan tali nylon.

 

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di rumah pengadu di Felda Lepar Hilir 1 lebih kurang jam 3.00 pagi, 8 Mac lepas.

 

Bagaimanapun, di hadapan Hakim, Datuk Zainal Abidin Zainudin, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori sempat membuat rayuan agar hukumannya dikurangkan memandangkan dia mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak di Sumatera, Indonesia serta tiada rekod jenayah lampau.

 

Tertuduh turut memberitahu bahawa terpaksa mendapatkan wang bagi membiayai rawatan anaknya yang sedang sakit.

 

Bagaimanapun, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan diusir dari Malaysia setelah tamat tempoh hukuman penjara daripada tarikh tangkap 10 Mac lepas.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wahidah Zainal Abidin. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.