Video: Peneroka Felda Jangan Termakan Hasutan Luar

Kuala Lumpur – Peneroka Felda diminta tidak termakan hasutan luar mendakwa usahasama Felda Global Ventures (FGV) dan PT Eagle High Plantation (EHP) di Indonesia tidak mendatangkan kebaikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

Bercakap pada satu majlis bersama warga Felda hari ini, beliau berkata ini kerana mereka akan terlepas peluang keemasan yang dapat memberi banyak manfaat.

 

 

Beliau menyifatkan usahasama itu boleh mendatangkan keuntungan dan berkata masyakarat Felda harus berfikir memikirkan secara rasional dan waras akan peluang berkenaan.

 

“Kita sedia maklum, untuk Felda mengubah kualiti hidup masyarakat asal dan generasi kedua dan ketiga, kita juga ingin Felda menjangkaui sempadan negara. Kita mahu Felda terus global dan sebab itu pada masa ini kita timbang usahasama FGV dan Eagle High.

 

“Kita yakin kalau dapat formula yang saling utuh untuk satu sama lain, maka FGV dan masyarakat Felda boleh kaut keuntungan besar,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada Generasi Felda dan Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof) sempena Program Salam Perantauan Warga Felda di Putrajaya.

 

Najib berkata, dalam setiap usaha sama, semua aspek perlu diteliti sebaiknya.

 

“Apa yang perlu, kita fikir secara waras dan rasional. Jangan fikir hasutan mana-mana pihak sehingga yang baik jadi tidak baik, yang hak jadi batil.

 

“Kalau salah buat pertimbangan, maka terlepas peluang keemasan dan sukar untuk memperolehi peluang pada masa akan datang,” katanya.

 

Najib berkata, beliau menyerahkan kepada komuniti Felda dan pemilik saham FGV menentukan keputusan berhubung rancangan untuk bekerjasama dengan EHP itu, syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia.

 

Katanya, sebagai menunaikan tanggungjawabnya, FGV membentangkan segala butiran dengan jelas tentang rancangan kerjasama tersebut.

 

“Akhirnya terpulang kepada pemilik saham untuk membuat keputusan… tetapi fikirlah secara waras dan rasional.

 

“Jangan terbawa-bawa dengan hasutan mana-mana pihak sehingga yang baik jadi tidak baik, yang hak menjadi batil,” katanya.

 

Najib juga berkata, kerajaan sedang meneliti secara terperinci rancangan kerjasama antara FGV dengan EHP itu dan mahu satu formula yang menguntungkan kedua-dua pihak diwujudkan.

 

“Saya yakin dan percaya kalau dapat satu formula yang menguntungkan, maka FGV dan masyarakat Felda boleh mengaut keuntungan yang besar.

 

“Harga yang kita tentukan kalau setuju, boleh kita pertahankan,” katanya.

 

Pada Jun lepas, FGV mengumumkan memeterai perjanjian induk dengan Rajawali Group untuk membeli kepentingan dalam EHP pada harga AS$680 juta dalam bentuk tunai dan saham.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.