Video: Netizen Kecewa Papan Selaju Terapung Lexus Hoverboard Belum Jadi Kenyataan

Selepas diperdaya lagenda papan selaju Tony Hawk dan selebriti Hollywood lain, ramai yang terus skeptikal dengan kemampuan manusia untuk mencipta sebuah papan selaju yang terapung ataupun hoverboard.

 

Terbaharu pengguna media sosial terus kecewa apabila mengetahui hoverboard yang kononnya akan  dikeluarkan pembuat kereta mewah Lexus sebenarnya tidak berfungsi sepenuhnya.

 

Pengalaman bekerjasama dalam menjayakan gimik pemasaran Lexus hoverboard itu diceritakan salah seorang pemain papan selaju, Sam Sheffer di laman web the Verge.

 

Sheffer yang dijemput untuk menguji hoverboard itu turut kecewa ia tidak mampu berfungsi sepenuhnya tanpa bantuan lantai bermagnet.

 

Malah, hoverboard itu bukan produk terbaharu keluaran Lexus sebaliknya hanya sebuah prop ataupun alat gimik yang digunakan untuk mempromosi jenama syarikat itu.

 

Namun ia bukan satu proses yang mudah dan memerlukan lebih 400 hari dengan bantuan saintis untuk menjayakan projek ini.

 

Sebuah gelanggang papan selaju dibina khas di Barcelona untuk membolehkan hoverboard Lexus itu terapung.

 

Walaupun gelanggang tersebut nampak seakan berlantaikan simen, ia sebenarnya dibuat daripada kayu dengan sebuah trek magnet khas yang disembunyi oleh cat dan plaster.

 

Sebuah agensi pengiklanan digunakan untuk menampakkan seakan hoverboard itu berfungsi sepenuhnya.

 

 

Berlainan dengan Hendo Hoverboard yang menggunakan lantai tembaga untuk ia terapung, hoverboard Lexus menggunakan superkonduktur yang disejukkan dengan cecair nitrogen dan magnet.

 

Hoverboard itu diperbuat daripada jubin seramik, dimana superkonduktor terdiri daripada yttrium, barium, tembaga dan oksigen yang disejukkan bawah suhu negatif 180 darjah Celsius menggunakan cecair nitrogen.

 

Ini bermakna, kita harus menunggu lebih lama untuk sebuah hoverboard yang berfungsi sepenuhnya seperti yang disaksikan dalam filem Back to the Future 2.

 

Berikut video yang dikeluarkan Lexus International mengenai hoverboard yang diusahakan syarikat itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.