Video: Azalina Selamatkan Mangsa Terperangkap Dalam Tandas

Sepang – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman antara individu yang membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam tandas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (KLIA2) dalam satu kejadian baru-baru ini.

 

Melalui rakaman video yang dikirimkan kepada SuaraTV, wanita yang dikatakan berusia lingkungan 30an itu terperangkap apabila pintu tandas yang digunakan tersekat dan tidak boleh dibuka.

 

Azalina yang kebetulan berada di tempat kejadian segera membantu bangi mengeluarkan mangsa.

 

 

Ahli parlimen Pengerang itu turut menggesa agar pihak pengurusan lebih peka dengan kemudahan yang disediakan kepada para penumpang.

 

“Harap pihak pengurusan lebih peka dalam memeriksa kemudahan dari semasa ke semasa, untuk memastikan keselamatan pengguna.

 

 

“Hal ini juga akan menjejaskan imej negara jika tidak ditangani dengan baik kerana lapangan terbang adalah tempat yang paling banyak pelancong berkumpul” katanya melalui satu kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV.

 

Terdahulu AirAsia Bhd. menggesa Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengemukakan Pensijilan Aerodrome yang mengesahkan bahawa KLIA2 mematuhi peraturan Jabatan Pener­bangan Awam (DCA).

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, syarikat mahu melihat laporan penuh daripada IKRAM Premier Consulting dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mengesahkan pematuhan di lapangan terbang itu adalah selamat.

 

Katanya, selama lebih setahun AirAsia berulang kali meminta dokumen daripada MAHB dan pihaknya hairan mengapa MAHB teragak-agak untuk menunjukkannya kepada pihak awam, media serta pelanggan terbesar mereka terutamanya.

 

“Oleh itu, kami berharap permintaan mudah ini akan menerima respons yang sesuai daripada MAHB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Semalam, MAHB memberitahu, insiden pesawat penerbangan AirAsia Indonesia QZ0120 yang didakwa bergerak ketika `berlabuh’ di klia2 pada 9.18 pagi, 17 Julai lalu, mungkin disebabkan kegagalan kakitangan syarikat penerbangan itu meletakkan penyendal dengan baik pada tayar pesawat.

 

Menurut MAHB, maklumat ka­jian data operasi daripada Malaysia Airports Flight Operations Centre (MAFOC) mendapati, insiden tersebut bukan disebabkan masalah turapan laluan pada lokasi ber­kenaan kerana berdasarkan pe­nemuan awal MAFOC, turut terdapat enam pesawat lain AirAsia Indonesia yang ‘berlabuh’ dengan selamat dan normal pada tempat sama sebelum dan selepas insiden terbabit.

 

MAHB turut memberitahu, DCA telah mengiktiraf KLIA2 dengan Pensijilan Aerodrom semasa pembukaannya.

 

Pensijilan Aerodrom mengesahkan KLIA terutamanya landasan, tempat letak pesawat, laluan pesawat, struktur bangunan terminal dan kawasan sekitar mengikut spesifikasi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Lampiran 14, Jilid 1 dan Lapangan Terbang Piawaian Arahan 103 (ASD 103).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.