Undang-Undang Larang Hina Presiden Indonesia Cetus Kemarahan Aktivis

Jakarta – Pengamal undang-undang dan aktivis hak asasi manusia mengkritik cadangan pemerintah Indonesia untuk melarang perbuatan menghina Presiden kerana ia dianggap melanggar kebebasan bersuara di republik itu.

 

Cadangan tersebut disifatkan sebagai usaha menghidupkan semula undang-undang dari era pemerintah autoritari Suharto yang digunakan untuk menekan pihak yang berlainan pendapat dengan hukuman denda serta penjara, lapor Reuters.

 

Sekiranya diluluskan, pengkritik berkata undang-undang itu akan menjatuhkan lagi populariti Presiden Joko Widodo, yang telah memenangi pemilihan umum 2014 kerana dasarnya yang mahu ‘membersihkan’ pentadbirannya.

 

Undang-undang tersebut telah dimansuhkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada 2006 dan menjadi mercutanda demokrasi Indonesia yang baru.

 

Namun, Joko atau Jokowi telah menzahirkan sokongan untuk menghidupkan semula undang-undang tersebut.

 

“Ini untuk melindungi pihak yang mahu mengkritik dan juga Presiden sebagai simbol negara untuk jangka masa panjang. Bukan hanya untuk saya,” kata Jokowi.

 

Jurucakap Presiden pula menjelaskan bahawa bukan semua orang yang bersuara akan dianggap melanggar undang-undang itu.

 

“Sebagai contoh, mereka yang mahu memastikan pemerintah melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan umum tidak akan dianggap melakukan kesalahan.

 

“Namun jika kritikan itu berubah menjadi fitnah, itu boleh didakwa,” kata Teten Masduki.

 

Aktivis hak asasi manusia Andreas Harsono berkata cadangan itu satu langkah ke belakang bagi kebebasan berekspresi seterusnya menjauhkan Presiden dengan rakyat yang telah meletakkan kepercayaan mengundinya.

 

Dalam satu undian pendapat, kepercayaan orang ramai terhadap Jokowi telah jatuh ke paras 41 peratus berbanding 72 peratus ketika beliau baru dipilih sebagai Presiden. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!