UMNO Sungai Besar Desak Muhyiddin Letak Jawatan

Kuala Lumpur – UMNO Bahagian Sungai Besar hari ini mendesak agar Timbalan Presiden parti itu mengundur diri dari arena politik dengan meletakkan jawatan.

 

Ketuanya, Dato Jamal Md Yunos (gambar) melalui kenyataan akhbar yang dihantar kepada SuaraTV sebentar tadi berkata Muhyiddin tidak lagi relevan memimpin UMNO kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pendirian Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

“Beliau juga telah mengkritik YAB Presiden UMNO secara terang-terangan sehingga menyebabkan parti lawan mengambil kesempatan dan mensensasikan isu 1MDB dan Rombakan Kabinet baru-baru ini.

 

“Kenyataan-kenyataan beliau telah menyebabkan sokongan dan kepercayaan rakyat dan akar umbi parti merosot. Sekiranya beliau ikhlas ingin membantu parti, sudah pasti beliau bersungguh-sungguh untuk memperkukuh dan memperkuatkan parti. Tapi apa yang berlaku, beliau telah menyebabkan perpecahan dalaman parti”  katanya seperti yang dipetik dari kenyataan tersebut.

 

Menurut Jamal lagi, Muhyiddin telah gagal membantu Najib dalam menjalankan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap parti.

 

“Tindakan-tindakan dan kenyataan-kenyataan beliau seolah-olah ingin menjatuhakan kredibiliti YAB Presiden UMNO dan juga seolah-olah mempunyai agenda untuk kepentingan peribadi.

 

“Sebagai seorang pejuang dan pemimpin peringkat tertinggi, beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik dimana kepentingan parti perlulah diutamakan mendahului kepentingan peribadi” bidasnya lagi.

 

Jamal menjelaskan kebanyakkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin telah dimanipulasi dan menipu ahli UMNO serta rakyat Malaysia.

 

“Kita hanya memerlukan pemimpin yang ikhlas dan jujur, bukan pemimpin yang cuba untuk memecahbelahkan parti.

“Oleh yang demikian, jika YB. Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sifat tanggungjawab terhadap ahli UMNO, beliau harus meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Ini disebabkan kerana, beliau kini telah menjadi satu bebanan kepada parti dan boleh menjadi punca ahli hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.