Tuduhan Nurul Izzah Berniat Jahat – Mohamad Salleh

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tuduhan Nurul Izzah Anwar bahawa beliau membeli lapan unit harta di KL Eco City, Bangsar dengan jelas adalah berniat jahat.

 

Mohamad Salleh, pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd (NFCorp), berkata, Nurul Izzah  tidak pernah menyemak atau mengambil kisah untuk mendapatkan pengesahan tentang tuduhannya itu daripada syarikat pemaju, KL Eco City Sdn. Bhd., Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Public Bank Berhad.

 

“Beliau juga tidak pernah mendapatkan penjelasan tentang perkara sebenar daripada saya atau daripada isteri saya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

 

“Jika beliau sekurang-kurangnya mengambil kisah untuk berbuat demikian, saya percaya sidang akhbar pada 7 Mac 2012 itu tidak akan sekali-kali diadakan,” katanya.

 

Mohamad Salleh memberi keterangan dalam perbicaraan saman fitnahnya terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dan setiausaha agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, sebagai defendan pertama dan kedua.

 

Katanya, Nurul Izzah boleh menggunakan jaringan meluas yang terdapat dalam jawatan awamnya untuk mencari kebenaran tentang perkara tersebut, tetapi beliau sengaja memilih untuk tidak berbuat demikian.

 

“Dengan berbuat demikian, beliau sudah pasti akan menemui ketidakbenaran tentang kenyataan yang dibuat dan disiarkan itu,” katanya.

 

Menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Mohamad Salleh berkata beliau tidak mendapat sebarang pinjaman daripada Public Bank untuk membeli lapan unit harta itu.

 

“Tuduhan bahawa saya telah menggunakan wang daripada National Feedlot Centre untuk membeli harta itu adalah jelas berniat jahat,” katanya.

 

Dalam keterangan saksi yang dikemukakan kepada mahkamah, Mohamad Salleh berkata Nurul Izzah bersikap tidak bertanggungjawab dan berniat jahat apabila beliau menyetujui dan menyokong kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli.

 

“Tuduhan yang dibuat oleh Nurul Izzah bahawa isteri saya tahu tentang projek KL Eco City itu adalah benar-benar palsu, tidak benar dan berniat jahat,” katanya.

 

Mohamad Salleh berkata isterinya tidak tahu menahu dan tidak mempunyai akses kepada pembangunan projek KL Eco City.

 

Pada 24 Dis 2013, Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Nurul Izzah berhubung kenyataan beliau mengenai dakwaan Mohd Rafizi bahawa beliau (Mohamad Salleh) membeli lapan unit harta di KL Eco City dengan dana awam yang diperuntukkan kepada NFCorp.

 

Kenyataan yang dikatakan dibuat Nurul Izzah itu disiarkan Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

 

Dalam penyata tuntutannnya, Mohamad Salleh berkata kenyataan itu membawa maksud beliau dan keluarga beliau telah menyelewengkan dana NFCorp untuk membeli harta tersebut bagi kegunaan mereka, bukan untuk kegunaan syarikat.

 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng bersambung 23 September ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.