Tiada Tangan Tersembunyi Sebalik Tindakan Polis Terhadap SPRM – KPN

Kuala Lumpur – Polis hari ini menafikan dakwaan terdapat “tangan tersembunyi” di sebalik tindakan keras pihaknya terhadap anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dipertingkatkan untuk mencari sumber kebocoran siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis bukannya “menyerang” SPRM, tetapi hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang.

 

Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siri tangkapan pegawai SPRM sepanjang minggu lalu.

 

Katanya, bukan SPRM saja sedang disiasat, tetapi pihaknya juga akan memanggil pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) jika siasatan memerlukan mereka berbuat demikian.

 

“Pada masa ini, siasatan kami tertumpu kepada SPRM. Tiada tangan yang tersembunyi di belakang tindakan kami. Ia merupakan prerogatif kami,” katanya.

 

Beliau berkata kebocoran maklumat bukan sahaja terhadap draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi juga terhadap maklumat perbankan peribadi yang bertentangan dengan Akta Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

 

“Sebagai penyiasat, kami diamanahkan dengan dokumen-dokumen penting yang perlu dijaga dengan teliti dan sulit. Kebocoran maklumat perbankan adalah menyalahi undang-undang.”

 

Beliau berkata, orang yang bertanggungjawab untuk kebocoran ini tidak boleh dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat.

 

“Anda hanya dilindungi jika anda membocorkan maklumat itu kepada pihak berkuasa,” kata Noor Rashid.

 

Pada 3 Ogos, polis melawat pejabat SPRM di Putrajaya di mana mereka menyoal Datuk Bahri Mohamad Zin yang merupakan pengarah suruhanjaya operasi khas.

 

Dua orang lain – Ketua Bahagian Forensik SPRM Datuk IG Chandran dan penolong pesuruhjaya kanannya Tuan Ruslan Tuan Mat – juga disoal pada hari yang sama.

 

Sebelum itu, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat agensi anti-rasuah itu Tan Sri Rashpal Singh untuk soal siasat.

 

Ini diikuti dengan serbuan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy, di mana polis turut merampas beberapa dokumen.

 

Polis meneruskan operasi mereka semalam apabila memanggil tiga lagi pegawai kanan SPRM untuk disoal siasat.

 

Kesemua mereka dipercayai disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.