Siapa Sangka Tukang Pembersih Merungkai Misteri MH370

Kuala Lumpur – Siapa sangka, Johnny Begue yang bekerja membersih kawasan pantai di bandar Saint-Andre di Pulau Reunion, sebuah pulau milik Perancis yang terletak di luar pantai Madagascar mampu merungkai satu kes terbesar membabitkan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370.

 

Memetik laporan Daily Mail, Begue menemui ‘objek aneh’ di kawasan berkenaan yang juga jaraknya kira-kira 4,000 kilometer dari tempat usaha mencari pesawat MH370.

 

Lelaki itu percaya objek itu adalah serpihan sayap pesawat ketika sedang mencari batu kecil untuk dijadikan lesung menggiling cili pada minggu lalu.

 

Dengan bantuan rakan sekerjanya, Begue segera menempatkan sayap pesawat yang dijumpai tersebut ke tebing untuk mengelakkan ia dihanyutkan ke laut.

 

Johnny Begue 1

Sejurus selepas penemuan sayap pesawat tersebut, Begue kemudian menelefon sebuah stesen radio kegemarannya untuk memaklumkan pada deejay bertugas,

 

Namun, operator yang menjawab panggilan enggan melayannya kerana menganggapnya ia cuma satu gurauan.

 

Walaubagaimanapun, salah seorang rakan sekerja Begue melayari Internet dan terjumpa artikel mengenai pesawat MH370 sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

 

Begue dan rakan-rakannya tidak sangka sama sekali, serpihan pesawat tersebut milik pesawat MH370 dan sekaligus menyelesaikan misteri terbesar dalam industri penerbangan.

 

Apa yang menakjubkan, Begue juga menemui sebuah bagasi yang usang dan koyak di pulau tersebut.

 

“Ia agak pelik dan agak menyeramkan,” katanya.

 

Rakan sekerjanya, Gobalsoumy pula menyatakan ia sememangnya satu perkara yang aneh jika sayap pesawat dijumpai di lautan.

 

“Kami percaya pasti ada orang yang sudah mati dalam pesawat ini dan ahli keluarga pasti rasa ingin tahu,” katanya.

 

Begue juga berkata, dia tidak menyedari bahawa pergi mencari anak lesung untuk menumbuk cili menjadikannya dikenali ramai.

 

Semalam, pakar antarabangsa mengesahkan serpihan sayap yang dijumpai di Pulau Reunion milik Perancis adalah daripada MH370 yang menyokong rumusan awal bahawa pesawat itu terhempas di Lautan Hindi hampir 17 bulan lepas.

 

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat sidang media jam 1.45 pagi tadi menyatakan pakar-pakar yang berkumpul di Toulouse, Perancis telah mengesahkan serpihan pesawat dijumpai di Pulau Reunion sememangnya daripada MH370.

 

“Kami sekarang mempunyai bukti fizikal seperti yang saya umumkan pada 24 Mac tahun lepas, MH370 berakhir dengan tragik di selatan Lautan Hindi,” katanya secara langsung menerusi TV3, malam tadi.

 

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada banyak negara, organisasi dan individu yang terlibat dalam pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan.

 

Beliau berharap pengesahan itu walaupun tragik dan menyakitkan sekurang-kurangnya, ia memberi kepastian kepada keluarga dan mereka yang tersayang kepada penumpang dan kru MH370.

 

Terdahulu, MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.