Saya Ingat Sudah Cukup Tabah, Tapi Tak Mampu Tahan Juga – Suami Pramugari MH370

KUALA LUMPUR – “Mulanya saya ingat saya sudah bersedia dan tabah, tetapi akhirnya tidak dapat menahan perasaan sedih sebaik sahaja mendengar pengumuman perdana menteri,” kata Kelvin Shim, 39, suami kepada pramugari Penerbangan MH370, Tan Ser Kuin.

 

Katanya, beliau tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak awal pagi tadi bahawa flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas.

 

“Buat masa ini, saya hanya akan menunggu siasatan lanjut yang akan dibuat dan diharap kerajaan kita dan Australia akan menemui lebih banyak bukti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 

Isteri beliau, Tan, 41, adalah antara 12 kru penerbangan dan 226 penumpang pesawat itu yang dalam penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) tetapi gagal dihubungi setelah sejam berlepas.

 

Tan meninggalkan seorang anak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang anak perempuan tujuh tahun.

 

Kelvin berkata, beliau tidak dapat membayangkan saat getir yang terpaksa dilalui isterinya dan penumpang lain ketika kejadian itu.

 

Beliau turut menyimpan hasrat untuk pergi ke pulau Reunion bagi mencari serpihan pesawat atau bahan berkaitan yang boleh dijadikan bukti.

 

“Jika saya ke sana (pulau Reunion), mungkin saya dapat mengenal pasti barang-barang milik isteri saya, tetapi tambangnya mahal, lebih-lebih lagi tiada penerbangan terus ke pulau itu,” katanya.

 

Beliau juga berkata, pihak Malaysia Airlines telah menghubunginya pagi tadi bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaru pesawat MH370 itu.

 

“Pihak MAS ada menghubungi saya pagi tadi bagi mengesahkan penemuan terbaru itu dan menyampaikan rasa simpati mereka,” katanya.

 

Dengan nada sayu Kelvin berkata, beliau menyambut baik kenyataan perdana menteri bahawa kerajaan tidak akan berputus asa untuk mencari pesawat tersebut.

 

Kelvin juga menghargai serta berterima kasih kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau yang menyatakan bahawa kesemua penumpang pesawat tersebut akan sentiasa diingati dan dihargai. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.