Sara Ali Sahut Cabaran Duduk Kerusi Pengarah

Atas dorongan beberapa penggiat seni yang acapkali mahukan dia berkongsi kreativitinya sebagai pengarah, akhirnya pelakon berbakat besar Sara Ali bersedia menyahut cabaran tersebut tidak lama lagi.

 

Menurut pelakon yang baru saja tercalon sebagai finalis top 5 menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) ini, dia sekarang sedang membuat persediaan sebelum mengarahkan karya sulungnya iaitu sebuah filem pendek yang dijangka akan mula menjalani penggambaran sekitar September depan.

 

“Sebenarnya, sejak tahun lalu, ramai yang cadangkan pada saya supaya cuba mengarah. Antara yang sering mendorong saya seperti pengarah Jamal Khan, Khir Rahman, Sabri Yunus, Lina Tan dan Hazo Yap.

 

“Ketika itu saya belum berani lagi. Namun, keberanian itu semakin besar apabila tahun ini semakin ramai pula orang-orang yang memang berpengalaman dalam industri mengalakkan saya untuk mula mengarah.

 

“Disebabkan itu saya rasa mungkin inilah masanya untuk saya sahut cabaran tu. Insha Allah, saya sedang membuat persediaan dan mungkin saya mulakan dulu dengan mengarah filem pendek pada September ini,” katanya yang kini sedang berehat seketika daripada menjalani sebarang penggambaran drama atau filem.

 

Bagaimanapun, pelakon filem Kami Histeria ini menyatakan dia tidak mengikuti apa-apa kelas mahupun pembelajaran secara formal dalam dunia pengarahan.

 

Sebaliknya, pengalaman selama hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan sikit sebanyak dijadikan panduan untuknya menghasilkan karya sendiri.

 

“Saya tidak ikut pembelajaran formal dalam bidang pengarahan tapi saya gunakan pengalaman-pengalaman yang saya ada selama ini bagaiamana cara kerja di set penggambaran sesebuah filem atau drama.

 

“Saya tidak memilih genre apa yang saya mahu arahkan tetapi cukup dengan ianya mempunyai jalan cerita yang bagus dan saya akan cuba hasilkan sebuah karya yang bagus,” katanya yang turut memberitahu tidak bermakna dia akan meninggalkan dunia lakonan jika sudah bergelar pengarah.

 

Sementara itu, mengulas pencalonannya pada FFM27, Sara menyatakan dia terkejut dan tidak menyangka watak yang dilakonnya menerusi filem Kami Histeria melayakkan dia bersaing dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

 

Sebaliknya, dia meletakkan harapan setidak-tidaknya tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik.

 

Pun begitu, Sara bersyukur kerana lakonan dan kerja kerasnya menghidupkan karakter sebagai Bad dalam filem tersebut membawa tuah. Tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi untuk menang, dia menganggap semua calon dalam kategori berkenaan berpotensi menang.

 

“Saya terkejut. Langsung tak sangka saya tercalon dalam kategori itu sebab sebenarnya saya rasa saya akan tercalon dalam kategori pelakon pembantu.

 

“Tapi saya bersyukur kerana juri mempercayai bakat saya. Saya dan juga barisan pelakon lain yang terlibat dalam filem tersebut memang berkerja keras untuk menghidupkan karakter masing-masing dan saya rasa berbaloi atas penat lelah saya.

 

“Saya akui saingan kali ini sengit lebih-lebih lagi turut bersaing ialah tiga aktres yang cukup berpengalaman dan berpengaruh. Saya bangga apabila tercalon bersama Maya Karin, Lisa Surihani dan Fazura yang mana mereka adalah nama-nama besar dalam industri lakonan.

 

“Tercalon pun sudah cukup bagi saya, menang atau tidak itu adalah perkara kedua. Saya rasa persaingan FFM27 kali ini adalah persaingan yang sihat dan semua finalis berpotensi untuk menang,” tuturnya.

 

Perkembangan lain, Sara bakal muncul menerusi super-telefilem berjudul Beringin yang akan ditayangkan di saluran Astro pada September nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.