Redza Rosli Diserang Lelaki Mabuk

Minggu lalu, pelakon drama bersiri M.A.I.D, Redza Rosli diserang seorang lelaki tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan.

 

Memetik laporan mStar online, Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, 23, berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja pulang dari penggambaran sebuah drama dan singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol sebelum dihampiri lelaki berkenaan.

 

“Kejadian ketika itu dalam pukul 2 pagi dan ketika hendak ke kaunter saya melihat seorang lelaki merenung saya dari dalam keretanya dan saya sangka dia ingin merompak saya.

 

“Ketika saya ingin isi minyak dia tiba-tiba memandu keretanya ke arah saya seperti ingin melanggar namun saya sempat mengelak.

 

“Tidak terhenti di situ dia turun dari kereta dan mendekati saya sambil marah-marah dan saya terhidu arak dari mulutnya sebelum saya tolak dia. Ketika itulah dia menumbuk saya dan saya mempertahankan diri,” katanya.

 

Redza berkata, dia tidak berasa takut atau cemas tetapi hanya berfikir untuk menyelamatkan diri daripada terus diserang lelaki berkenaan.

 

Namun dia sedar lelaki itu tidak berniat untuk mencari gaduh sebaliknya bertindak agresif kerana berada bawah pengaruh alkohol.

 

“Dia serang saya sehingga kereta saya kemik tetapi tiba-tiba dia minta leraikan pergaduhan tetapi kembali menyerang saya.

 

“Ketika itu saya sedar dia bertindak sedemikian kerana mabuk dan dia akhirnya meminta maaf sambil memeluk saya,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.