Penerbitan Majalah Ujang, Apo? Berakhir

Kuala Lumpur – MOY Publication Sdn Bhd memaklumkan bahawa, syarikat itu kini mengambil keputusan untuk menutup operasi dua produk utamanya iaitu majalah Ujang dan Apo? bermula semalam.

 

Penutupan operasi itu turut dikongsi oleh kartunisnya menerusi laman sosial.

 

Kartunis Ubi atau nama sebenarnya Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar berkata, penutupan kedua-dua produk MOY Production itu bukan lagi khabar angin kerana penerbit majalah Ujang dan Apo? telah mengesahkan menutup operasi mereka.

 

“Akan tiada lagi majalah terbitan mereka di pasaran. Malang buat generasi akan datang kerana tak berpeluang lagi menatap dan mengenal majalah kartun legenda yang pernah menggegarkan dunia penerbitan suatu ketika dahulu.

 

“Paling sedih dan kasihan dengan pengkarya serta kartunis yang selama ini mencari rezeki di sana. Semoga keadaan bakal bertambah baik dan semoga nasib mereka akan terus dibela,” katanya seperti yang dipetik dari laman Facebook miliknya.

 

Selain itu, editor majalah Apo?, kartunis Pandan atau nama sebenarnya Ahmad Rashdan Rahmad berkata, MOY berkubur, Ujang dan Apo? akan kekal dalam ingatan.

 

“Apo Troopers..sila letak pen, pensil dan wacom di atas meja.

 

“Terima kasih dari pihak Apo Troopers kepada pembaca yang selama ini menyokong perjuangan kami. Kita akan bertemu lagi di muka surat yang lain pula, Insya-Allah,” katanya seperti yang dipetik dari laman Facebook miliknya.

 

The Rakyat Post juga cuba menghubungi Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon.

 

Bagaimanapun, kami gagal menghubungi pengasas kepada majalah itu namun, beliau hanya membalas mesej di laman Facebook dan berkata, “saya tutup telefon hari ini kerana banyak sangat mesej dan panggilan masuk mengenai isu ini.”

 

Sementara itu, Pengurus Besar MOY Publication Sdn. Bhd., Yusuf Huzairy Othman ketika dihubungi mengesahkan bahawa syarikat tersebut kini mengambil keputusan untuk menutup operasi majalah Ujang dan Apo? bermula semalam selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kadar caj cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pasaran majalah yang tidak menentu.

 

Jelasnya, kakitangan kedua-dua majalah itu bakal dibayar pampasan sebanyak tiga bulan gaji.

 

“Setiap yang bermula pastinya akan berakhir dan inilah pengakhiran hayat untuk kedua-dua majalah ini.

 

“MOY Publication telah mulakan kerjasama dengan sebuah syarikat Apt Inventions Sdn. Bhd. untuk memuat turun semua karya kartunis Ujang dan Apo? ke dalam bentuk digital dan pembaca boleh membacanya menerusi laman web http://bekazon.com/,” katanya sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca setia Ujang dan Apo? kerana menyokong mereka selama 21 tahun.

 

Isu pertama majalah Ujang diterbitkan pada tahun 1994 dan empat tahun kemudiannya, disusuli dengan penerbitan majalah Apo? pada tahun 1998.

 

Majalah Ujang pernah mencatatkan jualan tertinggi sebanyak 250,000 salinan untuk satu isu dan antara kartunisnya yang berkhidmat hingga ke akhir penerbitannya adalah Lengkuas, Bawang, Petai, Manggis, Lepat, Sukun, Bijan dan Lambok. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.