Paul Low Cadang Undang-Undang Kawal Derma Dari Luar Negara

Kuala Lumpur – Malaysia memerlukan undang-undang yang mengawal pembiayaan politik bagi mengharamkan sumbangan dan deposit derma dari negara luar masuk ke dalam akaun bank individu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

 

Ia susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri adalah sumbangan politik daripada penderma luar negara.

 

Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal tadbir urus dan integriti itu berkata, buat masa ini tiada peraturan dikenakan terhadap pembiayaan politik di negara ini, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.

 

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan mendesak untuk mengawal selia pembiayaan politik bagi memastikan ketelusan.

 

“Wujud keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang melarang semua bentuk pembiayaan politik daripada sumber asing atau penderma yang bukan entiti atau warganegara Malaysia.

 

“Semua sumbangan politik tidak boleh disalurkan ke dalam akaun individu tetapi hanya ke dalam akaun parti politik dan semua penderma mesti didedahkan kepada umum,” kata Low dalam ucapannya pada persidangan tahunan Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) pagi ini .

 

Pada Isnin, SPRM berkata, kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang daripada penderma, bukannya pelabur strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Agensi anti rasuah itu juga kemudiannya mengesahkan penderma itu dari Timur Tengah, tetapi tidak menamakan sumbernya.

 

Bagaimanapun, katanya, ia akan memanggil Najib bagi memberikan penjelasan mengenai sumbangan itu.

 

Dakwaan RM2.67 bilion dalam akaun Najib itu pertama kali muncul dalam laporan The Wall Street Journal (WSJ) bertarikh 2 Julai, memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia.

 

WSJ berkata, sumber dana itu tidak diketahui, tetapi ia berlegar melalui beberapa entiti berkaitan 1MDB dalam pelbagai tranche, yang terbesar berjumlah AS$681 juta, disalurkan kepada akaun Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun sama.

 

Perdana menteri menafikan mengambil dana 1MDB untuk kegunaan peribadi, tetapi tidak secara langsung menyentuh mengenai pindahan dana itu.

 

Beberapa ahli Kabinet Najib sebelum ini berkata tidak salah menyalurkan wang ke akaun peribadi Najib kerana sebagai presiden parti, dia mempunyai kapasiti untuk menjadi pemegang amanah bagi Umno.

 

Low berkata beliau berharap untuk memenuhi semua parti politik untuk membentangkan cadangannya, sambil menambah yang cadangan beliau itu merupakan peruntukan asas yang sudah wujud di negara yang mempunyai peraturan pembiayaan politik.

 

Beliau berkata, tanpa sebarang rangka kerja untuk mengawal selia dana itu, wang itu boleh digunakan untuk mempengaruhi proses politik dengan cara yang negatif, seperti “membeli undi” dan mempengaruhi keputusan dasar.

 

“Ia juga boleh mengancam proses demokrasi dan nilai, dan menyokong rasuah politik, termasuk ‘state capture’ (sejenis rasuah politik sistemik di mana kepentingan peribadi dengan ketara mempengaruhi proses membuat keputusan negara)” katanya.

 

Sebagai contoh, bekas presiden Transparency International-Malaysia itu berkata, kumpulan berkepentingan boleh mendapatkan akses kepada koridor kuasa melalui sumbangan kepada parti politik.

 

“Kepentingan asing dan malah kumpulan jenayah boleh menggunakan wang untuk memanipulasi politik supaya memihak kepada mereka, manakala pihak kerajaan boleh menggunakan sumber negara untuk mengekalkan cengkaman kuasa mereka ,” katanya.

 

Oleh itu, satu pembiayaan parti dan calon yang terbuka dan telus penting dalam usaha memerangi rasuah dan mendapatkan kepercayaan rakyat dalam politik, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.