Mimpi Jadi Kenyataan Buat Mariah Carey

Kuala Lumpur – Penghibur ternama dunia, Mariah Carey melahirkan rasa terharu dan dalam masa yang sama merasakan mimpinya menjadi kenyataan apabila akhirnya dianugerahkan dengaan bintang Hollywood Walk of Fame, semalam.

 

Apa yang membuatkan penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Hero itu gembira apabila majlis penganugerahan itu turut dihadiri anak-anaknya, Monroe dan Moroccan selain teman rapat dan peminatnya yang setia menunggu sejak dari pukul 11.45 pagi lagi (waktu tempatan).

 

“Ya Tuhan, sesungguhnya apa yang berlaku hari ini benar-benar buat saya begitu teruja, gembira dan pelbagai perasaan lagi sehingga agak sukar untuk saya menyatakan perasaan saya yang sebenarnya.

 

“Anda telah membuat saya menangis dengan penghargaan ini yang saya sifatan sebagai antara yang terbesar dalam hidup dan karier saya selama 25 tahun.

 

“Ia adalah mimpi menjadi kenyataan buat saya,” ucap Carey dalam penuh emosi selepas diberikan dengan penghargaan itu dalam majlis yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

 

Laporan Billboard turut menyebut majlis itu menjadi lebih bermakna apabila Monroe dan Moroccan turut mengucapkan, “Kami sayang kamu, Mommy!” secara serentak sebaik sahaja Carey menyampaikan ucapannya.

 

Antara teman rapat Carey yang hadir pada majlis bersejarah itu termasuklah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Epic Records, L.A. Reid; pengarah terkenal, Lee Daniels dan pengarah filem dan muzik video, Brett Ratner.

 

Seperti mana yang dikatakan oleh penyanyi lagu We Belong Together itu, benar, penghargaan bintang di Hollywood Walk of Fame untuk penyanyi hebat itu baru menjadi kenyataan selepas 25 tahun beliau menceburkan diri dalam bidang muzik.

 

Sementelah sebelum ini ramai yang menyangkakan Carey yang juga pemenang anugerah Grammy sebanyak lima kali itu sudah menerima bintangnya berikutan dengan pelbagai kejayaan yang sudah dicipta olehnya.

 

Carey yang merupakan salah seorang penyanyi yang memiliki album terlaris di dunia dengan penjualan 200 juta unit itu menjadi selebriti ke-2556 untuk menerima bintang itu di laluan terkemuka dunia yang terletak di sepanjang laluan penjalan kaki di Hollywood & Highland.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.