MH370: Luka Tidak Pernah Sembuh – Hishammuddin

Kuala Lumpur – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua pihak terutama media menghormati privasi ahli keluarga anak kapal dan penumpang MH370 pada masa sukar ketika ini.

 

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal pagi tadi bahawa pasukan pakar antarabangsa muktamad mengesahkan serpihan pesawat yang dijumpai di Pulau Reunion sebagai sebahagian daripada MH370, ibarat merobek kembali luka tahun ini..

 

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab pada usaha pencarian ketika itu, penemuan terbaru ini bagai merobek kembali luka tahun lalu dan berita ini pasti sukar buat ahli keluarga anak kappa dan penumpang MH370.

 

“Saya faham, apa yang mereka rasakan – saya mendesak media menghormati privasi mereka, dan memberi ruang yang diperlukan kepada mereka pada masa yang sukar ini.

 

“Kami akan melakukan sebaik mungkin untuk memberi keselesaan kepada keluarga mangsa dan akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

 

Tegas Hishammuddin, seperti dijamin Perdana Menteri, kerajaan Malaysia komited untuk melakukan apa saja dalam usaha mendapatkan kebenaran mengenai perkara sebenarnya yang berlaku.

 

“Kehilangan MH370 adalah tragedi paling hebat yang pernah menimpa industri penerbangan khususnya di Malaysia. Kehilangan ini adalah perkara memedihkan dalam ingatan rakyat Malaysia begitu juga seluruh duna dan seperti yang saya katakan sebelum ini, luka itu tidak pernah sembuh,” katanya.

 

Namun, Hishammuddin mengingatkan kejadian malang itu membawa kepada keakraban kedua-dua masyarakat Malaysia dan antarabangsa rapat sekalipun hubungan itu menerusi musibah dan kesedihan.

 

Malah, beliau berharap hubungan itu akan bertahan dan membawa kepada keakraban semua.

 

Hishammuddin pada masa sama turut berterima kasih kepada Menteri Pertahanan Perancis, HE Jean-Yves Le Drian, pasukannya dan individu yang disifatkan berada di barisan hadapan dalam menyumbang kepada kerja-kerja pencarian dan penyiasatan MH370.

 

“Kami berterima kasih kepada pengorbanan anda. Saya ingin pastikan kepada anda bahawa MH370 tidak pernah akan dilupakan, bahawa kerja yang dilakukan selama ini tidak sia-sia, dengan rahmat tuhan, satu hari akan capai penutup pada tragedi malang ini.Saya tetap percaya, akhirnya, kebenaran akan sentiasa didedahkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.