Lisa Hamil, Saya Yang Naik Berat Badan – Yusry KRU

KEHAMILAN pastinya berita gembira kepada pasangan suami isteri sementelah jika mereka memang mengidamkannya atau pun sudah menanti dalam jangka masa yang agak lama.

 

Begitu juga bagi pasangan suami isteri terkenal ini, keduanya cukup teruja apabila bakal bergelar bapa dan ibu tidak lama lagi.

 

Walaupun di awal kehamilan pelakon filem Istanbul Aku Datang ini, keduanya lebih banyak mendiamkan diri bercakap mengenai kehamilan berkenaan, tetapi bukan bererti mereka hendak menyinggung perasaan sesiapa sebaliknya mahu lebih bersikap low profil mengenai kehamilan itu.

 

Di temui di majlis rumah terbuka KRU, suami kepada Lisa Surihani, Yusry Abdul Halim sempat berkongsi mengenai perkembangan terkini isterinya yang sedang sarat.

 

“Bayangkan, Lisa yang hamil, saya yang naik berat badan. Saya naik lebih kurang enam kilogram dan ia sesuatu yang di luar jangkaan saya,” katanya.

 

Bercerita mengenai jantina anak yang bakal lahir, kata Yusry mereka masih belum mengetahuinya.

 

“Sebenarnya bukan kami mahu berahsia, tetapi doktor yang merawat Lisa pun tidak dapat mengesahkannya lagi.

 

“Apa pun, kami tidak kisah sangat, yang penting anak yang dilahirkan nanti sihat sudah cukup.

 

“Buat masa sekarang kami masih menunggu dan kalau tahu pun nanti, mungkin kami akan rahsiakan sehingga dia lahir,” katanya.

 

Mengakui Lisa lebih selesa berada di rumah, kata Yusry, dia bersyukur kerana morning sickness yang dialami isterinya kini semakin pulih.

 

“Kalau orang lain morning sickness mereka berlaku bukan sahaja waktu pagi, tetapi tidak Lisa. Dia benar-benar mengalaminya pada waktu pagi sahaja.

 

“Cuma kini apa yang semakin pelik, dia akan teringin untuk makan sesuatu di tempat-tempat tertentu.

 

“Adakala dia akan kejutkan saya seawal empat pagi semata-mata untuk beritahu bahawa dia ingin makan sesuatu keesokan harinya,” cerita Yusry mengenai kerenah isterinya itu sepanjang hamil.

 

Sementara itu, Yusry memberitahu, dia dan Lisa sudah pun membuat persiapan asas untuk anaknya itu.

 

“Walaupun ia cahaya mata pertama kami, tetapi kami tidak mahu membuat persiapan berlebihan.

 

“Cuma, mungkin saya akan tukar kereta MPV kerana keluarga semakin besar,” katanya bergurau. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.