Ketua Pesuruhjaya SPRM Diarahkan Bercuti

Kuala Lumpur – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed disahkan akan bercuti sehingga minggu depan.

 

Menurut sumber, berikutan ketiadaan Abu Kassim segala tugasnya akan dipangku oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.

 

Sementara itu akhbar The Star melaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdul menafikan menerima arahan untuk bercuti, sebaliknya berada di luar negara atas urusan kerja.

 

Suruhanjaya itu kini menyiasat dakwaan kemasukan dana ke akaun Najib dan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB melibatkan dana RM4 bilion.

 

Pada masa yang sama, badan itu turut menjadi sasaran siasatan polis yang bertindak menahan beberapa pegawai SPRM berhubung kes kebocoran maklumat siasatan terhadap skandal 1MDB.

 

Selain itu, Pengarah Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Forensik Datuk IG Chandran dan pegawai SPRM, Tuan Roslan Tuan Mat turut diambil keterangan pada Isnin.

 

Manakala, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy  dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh turut dilaporkan ditahan Sabtu lalu.

 

Berikutan itu, SPRM telah menganjurkan majlis solat hajat di ibu pejabat badan pencegah rasuah di Putrajaya selepas solat zohor bagi memohon agar institusi itu diberi kekuatan untuk terus kukuh dalam menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.