GHB Tidak Berani Tubuhkan Parti Baharu

Shah Alam – Tidak ada keperluan untuk ahli PAS keluar daripada parti.

 

Kenyataan Ahli Jawatankuasa Gerakan Harapan Baru (GHB) Datuk Kamarudin Jaafar itu jelas membuktikan pergerakan tersebut tidak berani menubuh parti politik baru.

 

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

 

“Kenyataan Datuk Kamaruddin Jaafar mengiyakan kenyataan saya sebelum ini bahawa kumpulan progresif PAS (yang menubuhkan GHB) tidak berani menubuhkan parti baru itu”, katanya yang dipetik dari laman portal AntaraPos.

 

Iskandar sebelum ini berkata, GHB sehingga kini tidak menubuhkan parti politik baharu kerana tiada hala tuju dan kurang yakin berikutan masih mencari sokongan rakyat terhadap mereka.

 

GHB bukan sahaja berkali-kali menangguh penubuhan partinya malah sehingga kini bekas pemimpin PAS yang menyertai gerakan itu enggan meletakkan jawatan dan keluar parti.

 

“Mereka telah mengangguhkan pelancaran (parti) beberapa kali. Mereka mendakwa akan menubuhkan parti baru tetapi tidak mahu keluar daripada PAS.

 

“Saya menggesa kepada mereka (kumpulan progresif) yang bersama dengan GHB di atas alasan untuk menyertai parti baru agar meninggalkan GHB. Saya berharap mereka kembali bersama PAS yang begitu jelas halatujunya”, ujar Iskandar.

 

Sabtu lalu, Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata PAS sedia untuk menerima kembali kumpulan progresif berkenaan sekiranya hilang kepercayaan terhadap gerakan berkenaan.

 

Sebelum ini Iskandar turut memberi amaran kepada kepimpinan GHB agar tidak mendekati mana-mana pemimpin atau ahli PAS untuk menyertai gerakan itu dan seharusnya mencari ahli lain untuk mengukuhkan kedudukan pembangkang di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.