GHB Tak Bercanggah Dengan Islam, Kata Kamaruddin Jaafar

KUALA LUMPUR – Anggota Gerakan Harapan Baru (GHB) Datuk Kamaruddin Jaafar meminta PAS untuk bersikap lebih terbuka terhadap gerakan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bercanggah dengan pegangan Islam.

 

Justeru katanya selagi GHB tidak didaftarkan pertubuhannya sebagai parti politik, PAS tidak boleh memecat ahlinya yang berhasrat menyertai gerakan itu.

 

“Tengok kepada keadaan. Kalau misalnya wujud parti yang baru (GHB) itu bukan keluar secara automatik (tidak lagi menjadi ahli PAS), tidak perlu keluar dan dipecat pun.

 

“PAS seharusnya ada sikap yang terbuka kerana menghormati pendirian dan hasrat yang tidak bercanggah dengan Islam, kecuali kami menolak Islam, sekular. Walaupun itu tuduhan kepada kami,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen semalam.

 

Malah tegas beliau kumpulan progresif PAS yang menubuhkan gerakan berkenaan tidak akan keluar parti Islam itu meskipun dikehendaki berbuat demikian.

 

“Tidak ada keperluan, kita tunggu perkembangan politik selanjutnya sebab bukan masalah kita menolak Islam, hudud dan sebagainya, matlamat kita adalah untuk memperkuatkan lagi suara-suara yang boleh kita gembeling untuk memperjuangkan hak rakyat,” katanya lagi.

 

Ditanya mengenai keahlian GHB, ujar Kamaruddin tiada pendaftaran dibuat oleh gerakan berkenaan buat masa ini kerana ia masih belum didaftarkan sebagai parti politik.

 

“GHB ini hanya ditubuhkan sebagai NGO secara tidak rasmi untuk persiapan kearah cadangan menubuhkan satu parti politik baru untuk mengambil kira perkembangan politik bukan sahaja mana-mana politik dalam negara yang nampak sangat memerlukan kepada suara lantang.

 

“Kita terbuka kepada semua. Dari ahli UMNO, PAS atau mana-mana ahli politik. Mungkin kita harapkan anak-anak muda yang mengundi sebelum ini supaya suara mereka dan hasrat mereka dapat kita perjuangkan, krisis masalah negara kita ini amat terkesan kepada anak muda,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

 

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melarang semua ahli mahupun golongan pemimpin parti berkenaan mendekati GHB.

 

Malah, tindakan menggantung keahlian atau pecat secara automatik juga akan dikenakan keatas sesiapa sahaja yang didapati turut serta dalam sebarang program GHB.

 

Selain dianggotai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selaku Pengerusi GHB, ia turut dianggotai Naib Presiden PAS iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa; bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Mohamed Hanipa Maidin; bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

 

Gerakan berkenaan dijadualkan akan ditubuhkan pada 14 September depan yang bakal menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 selepas Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 lalu terkubur. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.