Australia Yakin Mencari Di Kawasan Betul Dan MH370 Akan Ditemui

Sydney – Pihak berkuasa Australia menyatakan keyakinan bahawa pencarian MH370 dilakukan di kawasan yang betul dan pesawat berkenaan akan ditemui ketika Malaysia mengesahkan bahagian sayap yang ditemui di sebuah Pulau Reunion adalah sebahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.

 

Bahagian sayap yang dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion itu “menunjukkan pesawat berkenaan terhempas, lebih kurang di lokasi yang kita percaya ia terhempas dan ia menunjukkan bahawa kita mungkin semakin hampir untuk merungkai misteri ini,” kata Perdana Menteri, Tony Abbott, kepada pemberita hari ini.

 

Sementara itu, Martin Dolan, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), agensi yang mengetuai pencarian di Lautan Hindi di barat Australia, berkata “kami yakin kami mencarinya di kawasan yang betul dan kami akan menemui pesawat itu di sana.”

 

Namun, Dolan memberitahu radio ABC adalah “terlalu awal untuk menyatakan” apa yang berlaku terhadap pesawat Malaysia Airlines itu yang hilang 17 bulan lalu dan “pemeriksaan lanjut (flaperon) adalah perlu bagi menilai sejauh mana kita dapat mengetahuinya.”

 

Australia mengetuai pencarian pesawat berkenaan yang hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.

 

Tiada bukti ditemui sehinggalah bahagian sayap berkenaan ditemui terdampar di Pulau Reunion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.