Anggota Tentera Perlu Berjiwa Besar – Raja Muda Perlis

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa anggota tentera yang berjiwa besar mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan sepenuh hati.

 

Menurut baginda, memiliki sifat sedemikian boleh mendorong pembentukan sifat daya juang yang mapan, memupuk jiwa dan meningkatkan iltizam serta menjadi mereka lebih matang dalam kerjaya dan insan yang syumul.

 

“Anggota tentera yang memiliki sifat-sifat ini mampu meletakan organisasi mereka dalam situasi ampuh selain memenuhi harapan rakyat,” titah baginda semasa merasmikan program ‘Malam Kilauan Aidilfitri 2015′ Rejimen 504 Askar Wataniah di Lake View Terinai, Timah Tasoh dekat sini malam tadi.

 

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

Keberangkatan baginda berdua disambut Panglima 6 Briged, Brig Jen Marzuki Mohamad dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt-Kol Azhar Ahmad.

 

Syed Faizuddin merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah agar anggota tentera membina hubungan padu dengan rakyat kerana mereka akan pulang juga ke pangkuan masyarakat apabila bersara kelak.

 

“Hubungan tentera dengan masyarakat awam ibarat ‘hand-in-glove’ kerana sentiasa bersama berusaha menghasilkan yang terbaik tugasan atau amanah termasuk membangunkan negara melalui pendekatan ‘Keselamatan dan Pembangunan’ atau KESBAN.

 

“Dalam mengukuhkan hubungan dengan rakyat, latihan anggota tentera haruslah dilaksanakan secara holistik dengan menekankan pembangunan modal insan yang merangkumi spiritual, karektor dan moral,” titah baginda. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!