Video: Empangan Sungai Kering, Tuhan Laknat Rakyat Selangor?

Hulu Selangor – Masyarakat dilihat mula panik ekoran pendedahan media berhubung isu simpanan air Selangor yang berada di tahap yang kritikal.

Menurut statistik laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) www.iwrims.luas.gov.my setakat pukul 8 pagi tadi, paras air di dua empangan yang masih di bawah paras minimum ialah Sungai Selangor (32.48 peratus) dan Sungai Tinggi (45.62 peratus).

Menurut laporan terkini paras air di empangan Sungai Selangor kini menyusut ke paras 32.10 peratus.

Meskipun ramalan memaklumkan musim hujan akan bermula bulan depan namun ia bukanlah jaminan dalam situasi  kritikal sebegini.

Adakah pergolakan jawatan Menteri Besar Selangor yang kecoh ketika ini mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat ?

Setiausaha Kehormat, Majlis Belia Malaysia Daerah Hulu Selangor Mohamad Firdaus Shir Mohd berkata isu air Selangor kini sudah semakin teruk dan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Menurutnya isu ini menjadi semakin rumit ekoran dari kemelut politik yang melanda pimpinan pakatan rakyat Selangor serta tindakan mereka sering bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

“Mereka tidak merasa mengangkat air sehingga ke tingkat empat dan lima, mereka tidak merasa apabila tandas tidak dapat dipam, mereka tidak merasa apabila (ada rakyat) yang tidak mandi.

“Saya tak kisahlah (sekiranya) dia (Anwar dan pimpinan PKR) ada masalah dengan Tan Sri Khalid (tetapi isu air ini perlu diselesaikan dengan segera).

“Mereka (pakatan rakyat) mengunakan slogan rakyat berkebajikan, (tapi dalam isu air ini) mana kebajikan yang dilaungkan itu” ujarnya kepada SuaraTV dengan nada marah.

Manakala Ketua Kampung, Kuala Kubu Bahru, Haji Mohd Kadir Abdul Gani mendakwa isu ini berlaku kerana kerajaan Pakatan Rakyat (ketika mengambil alih pemerintahan dari kerajaan Barisan Nasional) telah melewat-lewatkan isu pembinaan loji langat 2.

“Sebenarnya sekiranya tindakan kerajaan negeri Selangor bersesuaian dengan hasrat kerajaan Persekutuan, (sudah pasti) tidak timbul masalah.

“Sekiranya kerajaan Selangor tidak mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini ia pasti akan membebankan semua pihak” ujarnya.

Salah seorang peniaga goreng pisang Faridah Kasim ketika ditemui wartawan SuaraTv berkata, krisis air ini telah menyusahkan rakyat khususnya mereka yang mempunyai anak.

“Harapan saya, (isu) ini jangan berpanjangan kerana (akan) menyusahkan rakyat terutama mereka yang bergantung hidup dengan perniagaan kecil-kecilan yang memerlukan air untuk membasuh, memasak dan sebagainya.” ujarnya.

Menurut penguasaha bengkel mencuci kereta, Suba kerajaan pakatan sebelum ini mendakwa isu ini tidak akan mendatang sebarang masalah. namun pada hakikatnya ia telah menimbulkan banyak masalah kepada rakyat.

“Kadang-kadang mereka tak bagitahu penduduk, tiba-tiba (terus) tutup air” ujarnya pula.

Sekiranya perkara ini berterusan pengusaha kecil-kecil seperti dirinya mungkin terpaksa gulung tikar kerana tidak mempunyai sumber air yang mencukupi.

Salah seorang wakil pimpinan kampung yang enggan dikenali berkata kerajaan negeri seharusnya menghentikan semua polemik politik yang sedang melanda ketika ini bagi memberikan tumpuan penuh untuk menyelesaikan isu air ini.

“Rakyat Selangor telah memilih mereka sebagai wakil, maka sepatutnya isu air ini dijadikan sebagai keutamaan dan bukannya saling berebut kuasa dan menjatuhkan antara satu sama lain.

“Pada saya, mungkin ini adalah balasan dan laknat Tuhan terhadap rakyat Selangor” katanya.

Empangan Sungai Selangor adalah empangan utama yang membekalkan 60 peratus sumber air kepada rakyat di negeri itu.

Sementara itu, enam lagi empangan menunjukkan peratusan melebihi paras minimum iaitu empangan Batu sebanyak 81.75 peratus, empangan Klang Gates (69.87 peratus), Kolam Takungan Sungai Labu (56.9 peratus), Langat (62.45 peratus), Semenyih (75.3 peratus), dan empangan tasik Subang (65.47 peratus).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.