Tiada Pilih Bulu: Saya Kena Fikir Macam Mana Nak Bawa Kes – Peguam Negara

Putrajaya – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menafikan beliau mengamalkan pendakwaan terpilih dalam mengendalikan kes di negara ini terutamanya melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

Abdul Gani berkata apabila kertas siasatan dibuka, ia perlu mempunya bukti yang cukup kukuh sebelum pendakwaan dibuat.

Mengambil contoh kes terbaru melibatkan seseorang lelaki berbangsa Cina bernama Kelvin Yip yang dikatakan telah menghina agama Islam di laman sosial Facebooknya, Abdul Gani menjelaskan kes tersebut akan mengambil sedikit masa untuk disiasat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi kesukaran apabila pihak yang sedang disiasat tidak mempunyai alamat Internet Protocol (IP), identiti dan akaun emel yang palsu sehingga menyukarkan untuk membuat pengesahan.

Pihaknya juga menghadapi kesukaran untuk mendapat kerjasama dari negara luar kerana kebanyakan pengendali laman sosial berada di luar negara.

Ia berbeza dengan kes penceramah bebas Shahul Hamid Seeni yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan dalam ceramahnya hingga menyinggung perasaan kaum India baru-baru ini.

“Mereka yang mengaku senang kita dakwa kerana dia sudah mengaku kesalahan mereka kepada umum. Macam ustaz dia beri ceramah, ada video dan ramai orang.

“Shahul Hamid, kes dia saya rasa laporan dibuat pada Khamis dan pada hari Jumaat baru polis buka kertas siasatan.

“Kalau begitu apa yang kalian jangka kami boleh buat? Adakah kami boleh tangkap orang tanpa buat siasatan, adakah itu adil bagi mereka dan juga kami,” katanya.

Abdul Gani dikecam hebat pelbagai pihak kerana didakwa mengamalkan pendakwaan terpilih apabila pantas menghukum mereka yang menghina agama dan bangsa lain sedangkan tiada sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang menghina bangsa Melayu dan agama Islam.

Beliau juga menepis tanggapan bahawa pihaknya gagal menjalankan tugas dengan baik.

Menurut Abdul Gani, setiap pagi Khamis pihaknya akan mengeluarkan laporan penuh yang mengandungi butiran kertas siasatan yang masuk dan keluar serta cadangan tindakan.

“Kita ada sistem di sini. Kami akan keluarkan laporan pada setiap Khamis, kenapa hari Khamis, kerana hari Jumaat adalah mesyuarat Kabinet, semua dapat salinan termasuk Perdana Menteri, semua agensi berkaitan dapat salinan termasuk KDN (Kementerian Dalam Negeri), IGP (Ketua Polis Negara) juga dapat,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer berhubung ucapannya yang dikatakan telah menghina UMNO, Abdul Gani berkata pihaknya sedang mengkaji dengan berhati-hati demi kepentingan dan masa hadapan negara.

“Saya kena berfikir bagaimana untuk saya bawa kes saya, kami tidak berani untuk menang kes sekiranya semua tidak peduli dengan apa yang berlaku. Hari ini kamu kata hitam itu putih, esok kamu kata putih itu putih asalkan kamu menang kes itu.

“Sebab itu kami agak berhati-hati, tetapi itu tidak bermakna kami dah putus asa dan biarkan begitu saja, kami masih meneliti kes yang ada dan lihat bagaimana untuk kami bertindak ke atas kes terbabit dan bagaimana nak buat.

“Tapi bagi kami, mesti ada polisi bagaimana kamu tentukan undang-undang itu, dan apa yang bakal terjadi jika kita ambil tindakan undang-undang sebegitu untuk jangka masa panjang, itu bagaimana kami menjalankan tugas kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.