Sekiranya PAS – UMNO Bergabung, 4 Wakil Rakyat Akan Letak Jawatan

Shah Alam – Analisis senario PAS menjalin kerjasama politik dengan Umno oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan (PPP) PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang bocor baru-baru ini tidak mendapat sambutan daripada ahli kumpulan whatsapp AJK PAS Pusat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata terdapat sekurang-kurangnya empat ahli kumpulan itu yang menyatakan pemimpin PAS perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing berikutan kemenangan yang diperoleh dalam pilihan raya adalah melalui sokongan parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Ini kerana kita menang atas sokongan rakyat terhadap PR, bukan PAS semata-mata. Maka, kekal dalam jawatan itu tanpa kita berada dalam PR adalah dianggap tindakan tidak bermoral dan berbaur pengkhianatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam semalam.

Katanya, kumpulan whatsapp itu dikendalikan seorang kakitangan ibu pejabat PAS bagi memudahkan menyalurkan pelbagai maklumat seperti tarikh, masa dan agenda mesyuarat kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Kumpulan whatsapp ini bukan rasmi. Malah, Presiden, Setiausaha Agung dan beberapa pemimpin tertinggi PAS juga tidak menyertai whatsapp ini. Sebarang keputusan diputuskan dalam mesyuarat yang dihadiri pemimpin tertinggi parti bukan di whatsapp ini,” katanya.

Khalid berkata, analisis senario yang dibocorkan itu juga adalah serangan ke atas PAS dan bukannya kepada Dr Zuhdi sendiri.

Beliau berkata, jika serangan itu ditujukan kepada Dr Zuhdi, maka analisis senario itu hanya berlegar di kalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sahaja dan tidak disebarkan kepada umum.

“Kalau Zuhdi sasarannya, sudah pasti ‘printscreen’ berkenaan akan hanya berlegar di kalangan pemimpin PAS sahaja kerana jawatannya sebagai Pengarah Operasi PPP bukan dipilih rakyat tetapi dilantik pemimpin.

“Oleh itu, jika ada yang ingin menjatuhkan Dr Zuhdi daripada jawatan itu, tidak perlu disebarkan ‘printscreen’ berkenaan ke luar, memadai disebarkan di dalam parti sahaja.

“Seharusnya, lebih banyak usaha dilakukan untuk membela nama baik PAS berbanding membela Dr Zuhdi bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap parti ini,” katanya.

One thought on “Sekiranya PAS – UMNO Bergabung, 4 Wakil Rakyat Akan Letak Jawatan

  • August 7, 2014 at 3:06 pm
    Permalink

    Kembalilah kepada hadis dan al quran….bersatulah sebagai satu ummah…apalah yang penting 4 orang dari ribuan orang islam yang bersatu..jangan putuskan silatulrahim.
    Jagalah akhlak sebagai seorang muslim..Jangan sampai Allah turunkan bala seperti mana yang ditimpakan kepada umat umat yang terdahulu…Tidakkah kita mengambil pengajaran.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.