Buruh Maut Terkena Renjatan Elektrik

Batu Pahat – Seorang buruh maut di tempat kejadian setelah terkena renjatan elektrik, ketika sedang mengait buah kelapa sawit di kebun majikannya, berhampiran Paloh.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari Sabtu itu, mangsa dikatakan sedang menyabit buah berkenaan, yang mana berhampiran sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut sumber TNB, mangsa, Saiful Anwar, 30, mati serta-merta setelah arus elektrik masuk ke seluruh tubuhnya bermula di tapak tangan sehingga tapak kakinya.

Katanya, mangsa ketika itu sedang mengait buah kelapa sawit menggunakan galah aluminium sepanjang enam meter, sebelum galah terbabit terkena kabel elektrik.

“Kita percaya galah diguna terjatuh dan terkena pencawang terbabit, lalu arus elektrik menyambar galah aluminium diguna mangsa.

“Mangsa yang kemudiannya cuba mengambil galah terbabit terkena renjatan elektrik, dan maut serta-merta di tempat kejadian.

“Kejadian berkenaan disedari rakan mangsa yang cuba menyelamatkannya tetapi mangsa telah pun meninggal dunia ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis dari Balai Polis Yong Peng dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan polis telah mendapati mangsa terbaring di bawah sabit berkenaan dan mendapati masih ada arus elektrik pada sabit yang menghempap mangsa.

“Galah yang digunakan mangsa tersangkut pada transformer pendawaian eletrik yang mengalirkan 11,000 kilo voltan (KV) arus elektrik dan pihak TNB terus dipanggil untuk memutus arus berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk bedah siasat serta diklasifikasi mati mengejut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.