Bubar DUN: PKR Sedia Hilang Selangor

Kuala Lumpur – PKR sedia kehilangan Selangor sekiranya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan satu-satunya cara untuk Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dalam menyelesaikan kemelut menteri besar yang melanda negeri itu, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu mengakui meskipun PKR bakal berdepan keadaan sukar sekiranya pembubaran DUN berlaku namun parti itu sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Katanya, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan kesediaan menerima hakikat kehilangan kerajaan yang berjaya dirampas parti itu daripada Umno-Barisan Nasional (BN) bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

“Bagi mempertahankan prinsip, kita tidak kisah kehilangan kerajaan, jika itu perlu dilakukan maka ia amat berbaloi, pemimpin datang dan pergi, saya, Anwar.

“Kerajaan kita boleh dapatkan kembali namun tidak sekiranya kehilangan kepercayaan, intergriti dalam pentadbiran, sekali kita hilangkan ia akan mengambil masa lama, bergenerasi untuk dapatkan kembali kepercayaan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai forum bertajuk ‘Mengapa Khalid Harus Berhenti’ anjuran Kelab Bangsar Utama di Dewan Perniagaan Cina Selangor, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Katanya, beliau yakin rakan sekutu mereka PAS dan DAP turut bersedia dengan hakikat risiko kehilangan kuasa memerintah di negeri berkenaan

“Meskipun kita tidak tahu bagaimana dengan DAP atau PAS tapi kita yakin mereka juga sependapat dengan kita,” katanya.

Rafizi yang menjadi antara salah seorang panel jemputan di forum itu berkata, PR sememangnya berdepan kesukaran dalam mencapai persetujuan mencari calon menteri besar.

Katanya, keputusan PR memilih Khalid sebagai menteri besar selepas memenangi majoriti PRU 2008 kerana ketika itu pemimpin itu dilihat sebagai calon yang hampir memenuhi kehendak rakyat Selangor.

“Ketika itu PR langsung tidak menyangka akan dapat memenangi Selangor, kita tidak ada tokoh berpengalaman dan semua tidak dibentuk lagi sehingga timbul pula kalau PAS tidak setuju dengan calon maka mereka akan berunding dengan Umno.

“Pada masa itulah kita melihat Khalid di atas kertasnya sebagai calon paling sesuai kerana beliau seorang korporat yang tidak terlalu berpolitik dan diketahui jujur dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau berkata, pada awal pentadbiran Khalid, masalah menteri besar itu hanya melibatkan hal pentadbiran di mana kepimpinan parti cuba untuk mengatasi perkara berkenaan.

“Masalah awal pada 2008 hanya melibatkan pentadbiran, seperti kalau beliau tidak dapat berjumpa dengan kita, mesyuarat atau apa saja kita boleh cuba selesaikan dengan menghantar wakil atau cara lain.

“Namun apabila masuk 2014 ia bukan lagi melibatkan cara pentadbiran namun kita dapati ia juga membabitkan intergriti, keberhutangan beliau, dengan isu perjanjian penstrukturan air dan banyak lagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, atas dasar konsensus yang dipegang PR sejak perikatan tiga parti berkenaan, Khalid diberi kepercayaan sekali lagi untuk menerajui Selangor.

“PR ini dasarnya adalah consensus dan apa pun strategi mesti ada persetujuan bersama, masuk 2014 memang ada perancangan tukar menteri besar, namun kerana dasar bersama, maka Khalid disambung perkhidmatannya.

“Ketika itu kita berharap Khalid dapat mengubah cara pentadbirannya meningkat dengan lebih baik,” katanya di forum itu dan turut menjawab soalan beberapa hadirin ketika sesi soal jawab.

Rafizi berkata, PR juga menghadapi masalah mencapai kata persetujuan untuk melantik calon perdana menteri.

“Bayangkan dalam tempoh enam tahun kita tidak pernah mencapai persetujuan siapa layak untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Katanya, meskipun PKR meletakkan Anwar sebagai calon perdana menteri namun ia tolak pimpinan tertinggi PAS.

“Kita hendak masuk PRU13, PAS tidak setuju Anwar sebagai perdana menteri. Delegasi PAS Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Datuk Harun Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.

“Kerana itu mereka perlu faham bukan senang untuk berdiplomasi, keputusan tukar Adun merupakan keputusan PKR, namun tukar menteri besar ialah isu pakatan,” katanya.

Krisis dalaman PR memuncak apabila PKR mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar menggantikan Khalid.

Hadi dalam kenyataannya menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid dengan menyatakan penukaran menteri besar itu tidak wajar kerana rekod bersih pemimpin PKR itu.

Meskipun didesak hebat, Khalid tetap dengan pendirian tidak mahu berundur sehingga habis penggal perkhidmatannya.

Keengganan Khalid itu menyebabkan pemimpin pakatan mendedahkan penyelewengan menteri besar itu di mana sebelum ini dikenali sebagai pemimpin jujur dan mempunyai rekod bersih.

Rafizi yang mengakui Langkah Kajang merupakan rancangannya berkata ia bertujuan sebagai satu alternatif kepada PR untuk menggantikan menteri besar.

“Memang benar ia idea saya kerana kita mahu ‘back up plan’ malah Anwar sendiri sudah beritahu Khalid kita akan tukar menteri besar.

“Namun beliau minta untuk beri masa namun tiba-tiba Khalid muktamadkan perjanjian air, dan banyak lagi yang menimbulkan tanda tanya kenapa semua perlu dilakukan pada saat ini.

“Jadi kami yang muda ini mahu tetap membawa isu ini, kita merasakan ada asas cukup untuk tukar menteri besar, Maka isu ini terpaksa dibincang PR,” katanya.

Dalam forum yang dihadiri lebih dari 300 hadirin itu turut menampilkan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua dan Ahli Parlimen Sepang Hanifa Maidin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.