Pemuda PAS Desak Kerajaan PH Tangguh Kenaikan Tarif Elektrik

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas mengulangi sekali lagi cadangannya agar kerajaan baharu Pakatan Harapan lebih prihatin dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menilai semula kenaikan tarif elektrik.

Timbalan Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga perlu menarik semula kenaikan tarif itu yang disebabkan oleh pelepasan surcaj Kos Perlepasan Tidak Seimbang (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia.

Katanya, kos peningkatan penjanaan yang berjumlah RM698.19 juta iaitu RM1.35/kWj hendaklah diserap bagi mengelakkan kesan kepada tekanan inflasi yang akan dibebankan ke atas rakyat secara keseluruhan.

Beliau turut memberi cadangan, untuk menyerapkan peningkatan kos penjanaan elektrik yang berjumlah RM698.19 juta itu, ialah dengan kerajaan menangguhkan sebarang kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik selagi isu ketelusan Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penjana Tenaga Bebas (IPP belum diselesaikan.

“Adakah TNB terpaksa lagi membeli kuasa daripada IPP meskipun ‘reserve margin’ yang dianggarkan sekitar 25 peratus telah mencukupi? Berapakah jumlah keseluruhan pembelian yang dibayar oleh TNB kepada semua IPP pada tahun 2017 dan sepanjang tahun 2018?” soal beliau.

Ir. Khairil nizam turut mempersoalkan berapa kos pembelian arang batu oleh TNB Fuel Sdn Bhd (TNBF) dari negara pengeksport seperti Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia serta margin keuntungan diperolehi TNBF hasil penjualan arang batu kepada pelanggan IPP.

Pelanggan IPP ialah Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (40 peratus pemilikan Malakoff), Tanjung Bin Power Sdn Bhd (90 peratus pemilikan Malakoff), Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (CGN Group-China) dan TNB Janamanjung Sdn Bhd.

“Adakah semua syarikat ini mengalami kerugian akibat kenaikan kos arang batu? Kita menggesa kerajaan untuk memanfaatkan dana dari Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang ditubuhkan melalui Akta Bekalan Elektrik (Pindaan 2015) bagi menampung kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna.

“Dana ini terdiri daripada apa-apa jumlah yang dibayar oleh pemegang lesen, diperuntukkan oleh Parlimen dari semasa ke semasa, dividen pelaburan KWIE dan hasil yang diperolehi daripada penjimatan rundingan dengan IPP boleh digunakan untuk menyerap kenaikan tarif elektrik yang dikenakan terhadap pengguna sekurang-kurangnya sehingga tahun 2020,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!