Kucing Ini Akhirnya Mati Selepas Berjaya Ramal Keputusan 7 Perlawanan Piala Dunia 2018

Kemeriahan perlawanan Piala Dunia tidak hanya dengan memakai jersi atau bersorak bagi pasukan kegemaran, sebaliknya ia tidak lengkap tanpa kehadiran haiwan yang bertindak sebagai “tukang tilik” atau peramal bagi meramalkan keputusan pada setiap perlawanan.

Antara yang paling menjadi sebutan adalah sotong kurita, Paul – yang berjaya meramal tepat pemenang bagi lapan perlawanan, termasuk perlawanan akhir apabila Sepanyol menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0, pada Piala Dunia di Afrika Selatan, lapan tahun lalu.

Paul mati pada Oktober 2010. Kemudian, muncul pula beberapa haiwan lain seperti Citta, si gajah betina dari Poland dan singa laut bernama Watson yang membuat kemunculan pada siri Piala Dunia 2016.

Seperti sebelum ini, tahun ini juga tuan rumah Rusia “menyediakan” peramal mereka sendiri iaitu seekor kucing yang dikenali sebagai Achilles untuk menjalankan tugas sebagai peramal pada Piala Dunia 2018.

Setakat ini, kucing berbulu putih dan bermata biru itu berjaya meramal empat keputusan perlawanan melibatkan pasukan negara, Rusia menentang Arab Saudi pada perlawanan pembukaan di Moscow, 14 Jun lalu; Iran menentang Morroco; kemenangan Rusia terhadap Mesir pada 19 Jun; dan perlawanan antara Brazil menentang Costa Rica pada 22 Jun lalu.

Bagaimanapun, dalam debaran menanti pasukan mana yang berjaya melayakkan diri ke pentas akhir, berita sedih nampaknya diterima dari Beijing, China apabila si kucing peramal kesayangan negara itu yang diberi nama Baidian’er tidak sempat menghabiskan tugasnya selepas dilaporkan telah mati.

Kucing berbulu jingga itu, yang merupakan kucing jalanan yang berkeliaran di kawasan sekitar Muzium Istana di Kota Larangan di Beijing menunjukkan prestasi yang memberansangkan apabila berjaya menilik tujuh daripada 10 perlawanan – menjadikan ia begitu popular dalam kalangan rakyat China.

Baidian’er yang bermaksud tompok putih, berjaya meneka perlawanan dengan betul termasuklah kemenangan Croatia terhadap Argentina dan kemenangan Argentina ketika menentang Nigeria, lapor South China Morning Post.

Kucing jantan itu membuat “ramalan” dengan memilih mangkuk makanan yang digantung bersama bendera pasukan yang bertanding pada Piala Dunia.

Populariti si comel itu menyebabkan pihak Muzium Istana membuat satu akaun khas untuk Baidian’er di laman Weibo.

Tetapi sedihnya, pada Isnin lalu pihak Muzium mengumumkan kematian Baidian’er akibat darah beku yang berkait dengan gangguan pada jantung kongenital.

“Kami minta maaf, kami perlu membiarkan ia pergi,” kata pihak Muzium bersama gambar hitam putih.

Kematian kucing psikik itu menyebabkan lebih 10,000 komen membanjiri laman Weibo, rata-rata daripada peminat yang bersedih dengan berita tersebut.

“Setiap kali saya pergi ke Kota Larangan, saya akan pergi melihat Baidian’er, merakam gambar dan bermain dengannya seketika selain melihatnya tidur di atas rumput di bawah matahari,” komen seorang pengguna.

“Pergilah menjalani kehidupan yang bahagia di dalam Syurga Kucing, saya akan bertemu kamu lagi,” demikian tulis seorang lagi.

– mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.