Indeks Bursa Saham Malaysia Merudum Lagi

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia jatuh dengan ketara ketika ditutup hari ini berikutan tekanan jualan, mencerminkan sentimen berhati-hati ekuiti global berikutan ketegangan perdagangan AS-China.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 26.79 mata lebih rendah kepada 1,663.86 berbanding 1,690.95 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka 3.87 mata lebih tinggi kepada 1,694.52 dan bergerak antara 1,663.86 dan 1,694.81 sepanjang sesi dagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, sentimen ekuiti global terus terjejas oleh kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan antara AS dan China dan kemungkinan pusingan kedua pengenaan tarif perdagangan.

“Bila-bila masa sahaja mereka akan pergi ke pusingan kedua pengenaan tarif bernilai AS$50 bilion,” katanya kepada Bernama.

Pengenaan tarif baharu AS ke atas AS$34 bilion import China bermula hari ini dan Beijing bertindak balas dengan mengenakan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan AS, menyamai langkah Washington.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM8.97, Public Bank turun 38 sen kepada RM22.52,

Tenaga jatuh 16 sen kepada RM14.26, Petronas Chemicals merosot dua sen kepada RM8.44 dan CIMB berkurang 22 sen kepada RM5.31.

Di kalangan saham aktif, TDM menokok dua sen kepada 26.5 sen dan Icon Offshore naik satu sen kepada 14 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 60.5 sen.

Barakah Offshore dan Nova MSC masing-masing rugi setengah sen kepada 14.5 sen dan 16.5 sen.

Indeks Emas FBM jatuh 171.899 mata kepada 11,798.99, FBM70 merosot 173.5 mata kepada 14,534.71 dan Indeks FBMT100 turun 174.529 mata kepada 11,595.24.

Indeks Syariah Emas FBM jatuh 168.92 mata kepada 11,963.3 dan Indeks FBM Ace turun 16.77 mata kepada 5,234.18.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan merosot 258.6 mata kepada 16,340.9, Indeks Perindustrian susut 44.18 mata kepada 3,087.62 dan Indeks Perladangan menurun 81.28 mata kepada 7,421.28.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 539 berbanding 286, dengan 383 kaunter tidak berubah, 659 tidak diniaga dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan lebih rendah kepada 2.01 bilion unit bernilai RM2 bilion berbanding 2.17 bilion unit bernilai RM1.44 bilion pada Khamis.

Jumlah di Pasaran Utama berkurang kepada 1.17 bilion saham bernilai RM1.75 bilion berbanding 1.23 bilion saham bernilai RM1.18 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran turun kepada 619.47 juta unit bernilai RM209.23 juta berbanding 626.1 juta unit bernilai RM191.07 juta pada Khamis.

Jumlah di Pasaran ACE susut kepada 221.31 juta saham bernilai RM41.36 juta berbanding 312.66 juta saham bernilai RM66.06 juta.

Produk pengguna menyumbang 63.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian (177.7 juta), pembinaan (142.78 juta), perdagangan dan perkhidmatan (489.18 juta), teknologi (50.88 juta), infrastruktur (15.38 juta), SPAC (2.42 juta ), kewangan (52.37 juta), hotel (11.68 juta), hartanah (98.45 juta), perladangan (65.5 juta), perlombongan (32,000), REIT (5.47 juta) dan tertutup/dana (36,000). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!