Bomba Giat Padamkan Kebakaran Tangki Minyak Mentah

KEMAMAN – Bomba memberi tumpuan berusaha memadam kebakaran tangki minyak ketiga yang masih terbakar di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Azlimin Mat Noor berkata, kerja pemadaman kebakaran itu mengambil masa berikutan tangki terbabit mengandungi sebanyak 13,679 meter padu minyak mentah.

Katanya, Bomba terpaksa menggunakan kaedah tembakan buih termasuk menggunakan pancutan air.

“Pada masa ini, tangki pertama dan kedua yang mengandungi 4,800 dan 1,580 meter padu minyak telah berjaya dipadamkan hampir 90 peratus.

“Kita mendapat punca air daripada Syarikat Air Terengganu, syarikat minyak terbabit serta punca air dari Kemaman Supply Base (KSB),” katanya ketika sidang media, pagi ini.

Azlimin berkata, pihaknya juga giat berusaha mengawal api daripada merebak ke tangki keempat dan kelima yang kedudukannya sangat hampir.

“Kita pada mulanya berbincang dengan syarikat minyak terbabit untuk memindahkan kandungan minyak yang berada di dalam tangki keempat dan kelima sebagai mengelak kebakaran pada kedua-dua tangki itu.

Bagaimanapun kita membatalkan hasrat itu kerana kita bimbang api akan menyambar ketika usaha kami memindahkan minyak terbabit,” katanya.

Katanya, pihaknya menyediakan sebanyak 15,000 liter buih pemadam iaitu 6,000 liter daripada pihak Bomba serta 8,000 liter yang dibekalkan syarikat minyak terbabit.

“Seramai 100 anggota Bomba serta kakitangan daripada lapan agensi membantu dalam usaha memadamkan kebakaran itu,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.