AMK Cadang Anwar Tanding Presiden PKR Sebagai Persiapan Jadi PM Ke-8

GEORGE TOWN — Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Dr Afif Bahardin mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden parti itu pada pemilihan parti kali ini.

Katanya beliau percayai semua anggota PKR akan memberi sokongan penuh kepada Anwar jika bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu bertanding sebagai presiden parti.

“Saya rasa yang terbaik bertanding sebagai presiden PKR pada pemilihan yang dijadual berlangsung pada Ogos dan September ini ialah Datuk Seri Anwar kerana ini masanya untuk beliau kembali aktif dalam parti dan politik serta menjadi presiden dan seterusnya perdana menteri ke-8,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada masa ini PKR diterajui oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar.

Selepas pembebasan pertama Anwar daripada penjara, Kongres PKR pada 2007 bersetuju melantik beliau sebagai ketua umum namun terikat larangan aktif dalam politik selama lima tahun kerana dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun untuk pemenjaraan kali kedua, beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agung yang membolehkannya aktif berpolitik serta-merta.

Sementara itu, Dr Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang berkata pemilihan parti kali ini juga sangat penting bagi PKR untuk meletakkan kedudukannya sebagai sebuah parti yang memerintah iaitu parti kerajaan.

Katanya pemimpin PKR juga perlu pastikan dan sediakan parti itu untuk ke depan terutamanya dalam mengharungi suasana politik negara ketika ini.

“Saya belum ambil apa-apa keputusan lagi untuk bertanding mana-mana jawatan dan tarikh akhir untuk penamaan calon (bagi bertanding) ialah 29 Julai ini…cuma saya lihat pemilihan kali ini adalah penting untuk PKR meletakkan parti itu sebagai sebuah parti yang ke depan,” katanya. — Bernama

One thought on “AMK Cadang Anwar Tanding Presiden PKR Sebagai Persiapan Jadi PM Ke-8

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.