Sup Rusuk Rusa Jadi Menu Pilihan

Hidangannya yang cukup ringkas, namun ternyata memberi rasa yang luar biasa!

Tidak hairan, sejak diperkenalkan pada Ramadan lalu, sup rusuk rusa menjadi menu pilihan bagi pengunjung Restoran Azra Grill di Rawang, Selangor, seperti memetik Metro.

Selain rasa sup asli, keenakan rusuk rusa yang segar benar-benar membuka selera walaupun sekadar dimakan dengan nasi kosong atau roti.

Pemilik restoran berkenaan, Fathi Akhbar berkata, sup yang dihidangkan adalah resipi tradisi keluarga namun apa yang menambahkan keenakannya adalah rusuk rusa yang segar.

“Semua rusuk ini adalah daripada sembelihan rusa yang kami pelihara sendiri. Jadi, ia dijamin segar.

“Sekali pandang, tidak banyak beza dengan sup tulang lembu, tapi sebenarnya sup rusuk rusa lebih sedap. Bagi penggemar sup, sudah pasti mereka dapat membezakannya,” kata Fathi.

Jika mencubanya, ia perlu dipadankan nasi bersama sup rusuk tulang dengan menu lain seperti ayam golek atau daging panggang mahupun ikan salmon panggang, ia tetap kombinasi yang sesuai.

Begitupun menurut Fathi, selalunya pelanggan lebih gemar menjadikan sup rusuk rusa sebagai ‘pencuci mulut’ kerana mereka berpendapat ia lebih enak dinikmati begitu sahaja.

“Kebanyakan pelanggan terutama yang kaki sup akan menikmati juadah lain terlebih dahulu seperti ayam golek atau daging panggang, lamb chop, steak, bebola daging, spaghetti dan lain-lain menu yang terdapat di sini.

“Selepas itu baru mereka memesan sup rusuk rusa sebagai menu penutup. Selain itu, dua lagi hidangan berasaskan daging rusa iaitu steak dan panggang juga menjadi kegemaran pelanggan,” katanya.

Fathi berkata, dia tidak menyangka percubaannya memperkenalkan menu baru berasaskan rusa mendapat sambutan.

“Seperti diketahui, orang kita lebih gemar daging lembu atau kambing, juga ayam. Rusa seolah-olah makanan eksklusif kerana harganya yang lebih mahal. Tapi, rusa adalah menu paling ‘panas’ di Restoran Azra sekarang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.