Ranking FIFA Skuad Harimau Malaya Jatuh 12 Anak Tangga

KUALA LUMPUR – Kekalahan 1-2 di tangan Lubnan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 memberi impak besar kepada skuad kebangsaan apabila kemas kini terbaru ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan mereka ‘tergelincir’ ke tangga ke-167.

Meskipun mencatat sedikit peningkatan memberangsangkan apabila naik tiga anak tangga untuk berada pada ranking ke-155 Jun lalu, skuad bimbingan Nelo Vingada itu perlu menerima hakikat satu kekalahan menyebabkan mereka kini turun 12 anak tangga.

Ini sekali gus meletakkan Malaysia antara negara yang mengalami kejatuhan yang teruk di rantau Asia, selepas Yaman yang jatuh 21 anak tangga ke-145, diikuti Tajikistan (12 anak tangga) ke-149 serta Singapura yang juga jatuh 12 anak tangga ke-169.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu kenyataannya hari ini menjelaskan pihaknya bersedia untuk melantik perunding bagi membantu memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya.

“Selepas bulan September nanti, kita akan adakan beberapa perlawanan persahabatan untuk mendapatkan kembali mata. “FAM juga akan mengkaji semula jadual perlawanan dan akan melantik perunding ranking seperti yang dipraktikkan di negara India.

“Kita berada dalam sebuah sistem yang sudah ‘tidur’ lebih 30 tahun yang kurang memberikan sumbangan. Oleh itu, perubahan ranking pasukan kebangsaan dan infrastruktur akan mengambil masa. “Tidak banyak perkara yang boleh diubah dalam masa hanya 100 hari.

“Kami sudah melantik pengarah teknikal yang akan bertugas pada bulan September nanti bersama-sama konsultan ranking,” katanya.

Dalam masa sama, Hamidin juga menegaskan penurunan kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, penurunan itu susulan kekalahan skuad kebangsaan pada aksi bertemu Lubnan dan mereka tidak mengharungi sebarang perlawanan antarabangsa selepas itu kerana liga tempatan sedang berjalan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.