Pesawat Air Asia Dilanggar 2 Burung

SYDNEY – Sebuah pesawat milik Air­Asia yang dalam perjalanan ke Malaysia berpatah balik ke Australia sejurus setelah berlepas akibat dilanggar burung, kata syarikat penerbangan itu semalam.

Menurut AFP, insiden itu adalah yang kedua melibatkan AirAsia di Australia dalam tempoh dua minggu.

Sehubungan itu, beberapa penumpang berkata, pesawat itu bergegar dan bunyi kuat didengari dari arah enjin kanan penerbangan AirAsia X D7 207 selepas berlepas dari Gold Coast menuju ke Kuala Lumpur lewat kelmarin.

Sementara itu, penerbangan membawa 345 penumpang dan 14 anak kapal itu dilencongkan ke lapangan terbang Brisbane dan mendarat dengan selamat, kata AirAsia.

“Dua bangkai burung ditemui di landasan,” kata syarikat penerbangan tambang murah itu dalam satu kenyataan sambil menambah, enjin kapal terbang tersebut disyaki mengalami pelanggaran dengan burung.

“Kami mengikuti semua garis panduan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail.

Benyamin turut memuji juruterbang dan kru kerana sikap profesional mereka dalam memastikan keselamatan penumpang yang menaiki penerbangan D7 207 dan mendaratkan pesawat dengan selamat di Lapangan Terbang Brisbane.

Syarikat penerbangan Malaysia itu berkata, pihaknya sedang menguruskan sebuah pesawat khas untuk membawa kesemua penumpang berkenaan pulang ke Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, seorang penumpang, Calvin Boon berkata, dia melihat api pada bahagian enjin pesawat itu.

“Seluruh enjin terbakar dan api marak seperti dalam permainan video Resident Evil,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia, lapor Kosmo.

Pada Sabtu lalu, sebuah penerbangan AirAsia dari Perth menuju ke Kuala Lumpur mengalami masalah teknikal kira-kira 90 minit selepas berlepas dan terpaksa berpatah balik ke Australia.

Seorang penumpang berkata, pesawat itu ‘bergegar seperti sebuah mesin basuh’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.