Ops Selamat Hari Raya Tahun Ini Berjaya Kurangkan Kemalangan Maut

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan Ops Selamat siri ke-11 2017 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 18 Jun hingga 2 Julai lalu sebagai terbaik.

Kata beliau, Ops Selamat yang dikuatkuasakan kali ini berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut, kematian dan kes pecah rumah sepanjang tempoh pelaksanaan itu.

“Ops Selamat kali ini terbaik berbanding operasi yang dilancarkan selama ini kerana sebelum ini jumlah kematian dan kemalangan maut terus meningkat pada setiap Ops Selamat.

“Kali ini kita berjaya menurunkan jumlah kematian iaitu daripada 299 (2016) kepada 257 (2017) dan kemalangan maut 273 (2016) kepada 239(2017),” katanya di Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Polis terbaik sempena Ops Selamat Aidilfitri 2017 di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khalid juga menegaskan, PDRM juga tidak perlu menunggu untuk pelaksanaan Ops Selamat di masa hadapan setelah pelaksanaan kali ini menunjukkan kejayaan.

Ini kerana katanya, pihaknya berhasrat dan merancang untuk melaksanakan operasi itu sepanjang masa dan menyatakan bahawa ia akan dibincang dengan semua penguat kuasa undang-undang jalan raya untuk menguatkuasakan peraturan sepenuhnya dengan tenaga besar.

“Kejayaan Ops Selamat kali ini adalah hasil penambahbaikan dari segi task force kecil-kecilan di merata lokasi seluruh negara.

“Itu antara inisiatif terbaik untuk memastikan penguatkuasaan kami berkesan dalam mengawal tingkah laku pengguna jalan raya sepanjang perayaan.

“Namun adalah sukar untuk melaksanakan cara ini pada hari biasa kerana kekangan tenaga penguat kuasa selain tugas utama pada rutin harian di daerah masing-masing perlu juga dipertimbangkan,” tegasnya lagi.

Menyentuh mengenai Ops Cantas semalam, beliau mengesahkan penahanan seorang ketua kongsi gelap di Lembah Klang dan menegaskan operasi itu akan diteruskan dan bakal menyaksikan beberapa siri penangkapan ahli pertubuhan haram itu selepas ini.

“Semua pihak harus faham iaitu Ops Cantas terhadap kongsi gelap tidak menjurus sesuatu kaum sahaja, kami bertindak memberisihkan keseluruhan operasi kongsi gelap secara tegas tanpa kompromi,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.