Misbun Mahu Ubah Program Latihan

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek sedia untuk melakukan perubahan terhadap corak latihan sedia ada bagi membolehkan pemain-pemain muda kebangsaan memenuhi potensi sebenar mereka.

Perkara itu disuarakan legenda badminton Malaysia itu selepas beliau secara rasmi memulakan tugasnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Isnin lalu selain me­ngakui pemain negara memiliki kelebihan tersendiri.

Seramai 13 pemain perseorangan negara termasuk Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia, Lim Chi Wing dan Soong Joo Ven akan berada di bawah bimbingan jurulatih berusia 57 tahun itu, lapor Kosmo.

“Minggu depan saya akan buat sedikit perubahan dari segi corak latihan setiap pemain tetapi saya perlu lihat dulu bagaimana aksi setiap pemain kerana kita mahu sesuaikan latihan dengan gaya permainan pemain itu sendiri.

“Sekiranya kita boleh terapkan corak latihan tersebut dengan cepat, saya fikir sudah pasti permainan mereka akan meningkat lebih cepat. Kita mahu hasilkan pemain yang bersesuaian dengan kemahiran serta kemampuan mereka,” ujar Misbun.

Beliau yang pernah meninggalkan badan induk sukan badminton negara itu pada 2011 akan dibantu dua jurulatih dari Indonesia, Hendrawan dan Indra Wijaya serta bekas pemain perseorangan kebangsaan, Sairul Amar Ayob.

Semnetara itu, tambahnya, beliau memerlukan sedikit masa bagi mengenali serta memahami diri setiap pemain memandangkan persefahaman antara jurulatih dan pemain merupakan sesuatu yang sangat penting bagi beliau.

“Buat masa ini, saya perlu sedaya upaya membina hubungan dengan mereka (pemain-pemain) kerana ia membolehkan saya rasa serta faham perasaan mereka. Sebab itu apabila tamat sesi latihan saya memeluk mereka kerana saya perlu rasa apa pe­rasaan mereka,” katanya.

Misbun menggalas tugas berat kali ini selepas BAM meletakkan sasaran muncul juara Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand tahun depan selain menaikkan kembali kualiti barisan pemain perseorangan lelaki Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.