Diktator Macam Lim Tak Akan Bersara, Kata Setiausaha Najib

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, hanya berdrama apabila mengatakan mahu bersara daripada politik, kata Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Tengku Sariffuddin berkata, tawaran Kit Siang hanyalah cubaan terdesak bagi meraih simpati, namun orang ramai sudah tidak lagi percaya dengan pemimpin DAP itu.

“Diktator tidak bersara, sebaliknya mereka menyebabkan orang lain yang bersara dan bukannya diri mereka. Mereka hanya menawarkan diri untuk bersara ketika perlu mengalih perhatian daripada kegagalan mereka sendiri.

“Jelas sekali Kit Siang tiada keinginan mahu menyerahkan pucuk kepemimpinan parti kepada naib pengerusinya, Tan Seng Giaw,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tengku Sariffuddin berkata, ketika ini situasi yang serius melanda DAP ialah mengenai kedudukan pengesahan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan Setiausaha Agung, ‘Penang Official No 1’, yang mana kedua-duanya tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Mungkin Kit Siang mengharapkan pembatalan pendaftaran itu supaya beliau boleh menyingkirkan ahli parti dan separuh daripada delegasi CEC yang diketahui di dalam DAP menentang dinasti Lim dan kediktatorannya,” katanya.

Isnin lalu, anggota parlimen Gelang Patah itu mengumumkan akan memulakan jelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan itu, selain mendengar pandangan berhubung kewajaran Guan Eng meletak jawatan ketua menteri Pulau Pinang.

Status parti itu dilaporkan berada dalam keadaan tidak menentu selepas pemilihan CEC parti itu yang diadakan pada 2012 dipertikaikan.

Pada Oktober 2014, Timbalan Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Mohd Norzam Mustapa, menjelaskan pihaknya tidak mengiktiraf pemilihan CEC parti berkenaan.

 

Keadaan itu menyebabkan DAP mungkin berdepan masalah apabila parti terbabit tidak dibenarkan menggunakan logo rasminya.

Sehubungan itu, Tengku Sariffuddin menasihati Kit Siang supaya berhenti menyalahkan Umno serta Barisan Nasional di atas masalah dalaman parti itu yang disebabkan oleh dirinya sendiri.

“Sudah tiba masanya untuk Kit Siang bersara daripada kediktatorannya yang sudah menjangkau separuh abad,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.