Denda Dikenakan Jika Gagal Tuntut MyKad Siap Proses

GEORGE TOWN – Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) bercadang mengenakan denda kepada orang ramai yang gagal menuntut MyKad yang siap diproses dalam tempoh ditetapkan.

Langkah itu berikutan terdapat ramai yang tidak mengambil berat tentang perkara itu kata Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohd Yazid Ramli.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang memendekkan tempoh sah guna dokumen Mykad sementara kepada kurang 30 hari berbanding tiga bulan sebelum ini bagi melicinkan pelbagai urusan rakyat, lapor Bernama.

Bagaimanapun, kedua-dua cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan pihaknya akan melaksanakannya selepas mendapat keputusan berhubung cadangan tersebut, katanya.

“Cadangan itu bagi memastikan pemohon tidak lambat menuntut Mykad mereka sehingga ada yang menggunakan dokumen pengenalan sementara walaupun sudah tamat tempoh.

“Pemohon yang gagal menuntut Mykad yang sudah siap akan dikenakan denda kerana disifatkan gagal mempunyai pengenalan diri yang sah dan menyukarkan pelbagai urusan,” katanya.

Sehubungan itu, mengenai projek Hab DPP, Mohd Yazid berkata ia memberikan penjimatan kos kepada pembangunan sistem, tenaga kerja  dan perkhidmatan Pos Laju kepada JPN negeri ini.

“Pelaksanaan projek ini turut memberi faedah secara berterusan kepada rakyat dan perkhidmatan awam berikutan manfaat penjimatan masa yang diperoleh  rakyat, mempermudahkan urusan rasmi yang memerlukan pengesahan maklumat diri melalui MyKad,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini tempoh proses Mykad mengambil masa sehingga 10 hari, namun dengan projek ini tempoh itu dipendekkan kepada lima hari. 

Katanya MyKad pada masa ini dilengkapi lebih 10 ciri keselamatan dan ia tidak boleh diklon oleh sindiket yang menghasilkan kad pengenalan palsu.     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.