Ada Ahli Parlimen ‘Gagap’ Guna Bahasa Melayu, Kata Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini berasa sedih dengan keadaan sebahagian ahli politik yang “gagap” berbahasa Melayu.

Menurutnya, perkara boleh perhatikan perkara ini dalam perbahasan di parlimen dan dalam interaksi seharian menerusi sidang media atau ceramah politik.

“Ia menimbulkan persoalan: Adakah mereka tidak bergaul dalam satu masyarakat kepelbagaian bangsa? Atau mereka merasa jelik berbahasa Melayu tetapi bangga berbahasa Inggeris? Kenapa mereka boleh mempelajari Bahasa Inggeris sedang gagal untuk menguasai Bahasa Melayu?” soal pemimpin PAS itu.

“Warga asing seperti Bangladesh dan Myanmar boleh sahaja berbahasa Melayu dengan fasih dalam tempoh enam bulan bekerja di Malaysia, kenapa pula ia tidak boleh dilakukan oleh ahli politik? Malah “Mat Dang Pulau Redang”, orang berkulit putih daripada United Kingdom boleh fasih berbahasa dialek Terengganu dengan pelbagai peribahasa rakyat hanya dalam setahun bermukim di Terengganu sehingga menjadi ikon di media elektronik,” tambahnya dalam satu kenyataan ketika mengulas isu kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu bagi pegawai perubatan kontrak.

Ujarnya, integrasi kaum di negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah menyaksikan bagaimana rakyat keturunan Cina dan India bertutur dalam dialek negeri sehingga tidak dapat dibezakan sama ada mereka berketurunan Cina, India atau berketurunan Melayu.

“Bagi saya itu adalah contoh kejayaan integrasi kaum.”

“Namun, saya bimbang jika kedapatan rakyat Malaysia yang lahir dan membesar dalam Malaysia tetapi masih tidak boleh berbahasa Melayu sehingga pada usia dewasa,” jelas beliau sambil menambah kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu bagi pegawai perubatan kontrak mendedahkan bagaimana longgarnya para pentadbir negara dalam menegaskan prinsip asas bernegara.

“Ia adalah siri kelonggaran jati diri sebagaimana berlaku sebelum ini isu pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris,” tegas Khairuddin lagi.

Katanya, kesatuan rakyat Malaysia mesti berpaksikan antaranya menerusi satu bahasa rasmi perantaraan seluruh rakyat Malaysia walaupun apa keturunannya iaitu Bahasa Melayu.

“Maka, integrasi kaum perlu diperkasakan,” jelas beliau lagi. – BeritaDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.