Abdul Hadi Cukup Konsisten Menolak Campur Tangan Asing

Pendirian presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu campur tangan asing berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) cukup konsisten.

Ketegasan Hadi itu adalah kerana beliau tidak bersetuju campur tangan asing dalam penyelesaian dalaman negara kerana ia boleh mengundang akibat yang lebih buruk.

Malah kuasa asing ini tiada keikhlasan pun untuk menyelesaikan masalah. Tidak seperti pemimpin pembangkang yang lain, Hadi sedari awal telah meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tunduk kepada tekanan ini.

Beliau begitu lantang memberikan pandangannya apatah lagi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah melakukan serangan kedua dalam isu saman sivil 1MDB yang dikitar semula.

Ia mendapat bantuan pihak tertentu di Malaysia yang bermotifkan politik.

Ketegasan Hadi itu disuarakan dalam satu kenyataannya semalam. Dalam tulisannya itu, walaupun tidak disebut nama namun jelas Hadi menyindir Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menyatakan beliau menyentuh mengenai Melayu yang mudah lupa.

“Saya tidak termasuk dalam kalangan Melayu yang mudah lupa terhadap isu yang wajib berlaku di setiap zaman Perdana Menteri bermula sejak tahun 80-an. Semuanya ditinggalkan tanpa penyelesaian, bahkan dilupakan khususnya kepada Melayu yang mudah lupa.

“1MDB adalah mata rantai masalah yang belum diselesaikan secara adil dan menjadi salah satu daripada mata-mata rantai isu yang tiada penyelesaian.

“Dahulunya BMF, PERWAJA, KWSP, PETRONAS, Tabung Haji, pertukaran wang asing, Skyhawk, Maika Holdings dan PKFZ. Kini muncul 1MDB dan rumah banglo di Pulau Pinang dan mungkin lain-lain lagi. Semuanya dalam tuduhan tanpa tindakan yang seadil-adilnya,” demikian tulisnya.

Agenda untuk mengundang campur tangan asing ini tidak pernah berhenti dan alangkah menyedihkan kerana campur tangan asing ini jelas melanggar kedaulatan negara.

Kerajaan dipilih secara demokrasi menerusi pilihan raya, namun melalui undangan untuk campur tangan asing ini, apa ertinya kepada rakyat yang memilih Najib. Tidak adil sama sekali kepada mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.