3 Sahabat Temui Ajal Bersama

PASIR PUTEH – Hasrat tiga rakan karib untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diadakan di sekolah hari ini tidak kesampaian selepas mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Bukit Tanah, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi, tiga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa di sini iaitu Ahmad Amirul Razali, 19; Amir Amjad Zuhar, 19, dan Che Muhammad Syafiq Che Suriadi, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, seperti memetik laporan Kosmo.

Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Muhammad Idzzat Haiqal Mohd. Ridzuan, 19, turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Dalam pada itu, bapa Che Muhammad Syafiq, Che Suriadi Che Hashim, 49, berkata, anak sulungnya daripada tiga beradik itu memohon kebenaran untuk keluar rumah pada pukul 9.30 malam untuk membuat persiapan terakhir sambutan hari raya Aidilfitri di sekolahnya.

“Arwah adalah ketua tingkatan dan juga anggota Exco Majlis Pelajar sekolah berkenaan. Dia sempat membuat persiapan itu cuma hasratnya untuk menyambut hari raya bersama rakan sekolah pada hari esok (hari ini) tidak kesampaian.

“Malah hajat dan cita-citanya untuk menjadi pendidik dan menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga tidak kesampaian. Saya reda dengan ketentuan ini walaupun kehilangan anak yang menjadi harapan kepada keluarga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.