120 Kenderaan Curi Gagal Dituntut Pemilik Akan Dilupus – Polis

MIRI – Sebanyak 120 pemilik motosikal dan kereta yang dicuri di sekitar bandar raya Miri dalam tempoh empat tahun lepas, gagal menuntut kembali kenderaan masing-masing walaupun sudah dimaklumkan menerusi notis kenyataan awam.

Ketua Polis Miri ACP Lim Meng Seah berkata kenderaan tersebut ditemui kembali oleh polis setelah pemilik membuat laporan polis mengenai kecurian kenderaan mereka dan kes kecurian tersebut telah selesai dibicarakan di mahkamah.

“Daripada jumlah itu, kenderaan yang tidak dituntut ialah 107 motosikal dan 13 kereta untuk kes jenayah dari 2012 hingga 2016,” katanya kepada pemberita selepas pelupusan kenderaan tersebut di Balai Polis Pusat Miri hari ini.

Beliau berkata punca sebenar pemilik gagal menuntut kembali kenderaan mereka tidak diketahui, namun polis cuba memaklumkan kepada pemilik terbabit dengan memaparkan informasi kenderaan tersebut di papan kenyataan awam, tetapi tiada respons.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah seksyen 22 Akta Polis 1965 kita melupuskan harta yang dikategorikan harta tidak dituntut untuk dikitar semula,” katanya bahawa turut dilupuskan hari ini ialah 1,248 unit komputer yang digunakan untuk judi dalam talian yang dirampas dalam tempoh sama. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.