Selangor Rugi Besar Jika Gagal Segerakan Pelan Penstrukturan Air, Kata Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor disaran meneruskan pelan holistik industri air yang dirangka sebelum Azmin Ali naik menjadi Menteri Besar.

 

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Selangor akan rugi besar sekiranya gagal melaksanakan pelan penstrukturan semula air negeri itu.

 

“Syabas dan Puncak Niaga sudah menerima formula yang kita beri (seperti pulangan ekuiti 12 peratus), kalau sudah terima tidak boleh ubah,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, hari ini.

 

Tambahnya, pelan pengambilalihan konsesi air daripada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syabas tidak akan menjejaskan pekerja sedia ada berkenaan.

 

“Semua pekerja syarikat terlibat tidak perlu bimbang kerana formula pengstrukturan semula tidak akan mengubah apa-apa termasuk gaji seperti sedia ada,” ujar Khalid.

 

Beliau yang juga Adun Bebas Pelabuhan Klang menyifatkan Azmin agak terlewat dalam memuktamadkan pelan penstrukturan semula air yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada November 2014.

 

“Sewaktu saya memegang jawatan MB, lebih 50 rundingan dijalankan. Dalam masa tidak sampai tiga bulan boleh diselesaikan.”

 

“Atas belas ihsan kerajaan pusat, boleh jadi muka kita masih baik dipandang mereka sebab itu kerajaan pusat melanjutkan tempoh untuk memuktamadkannya,” kata Khalid, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

 

Sementara itu, kerajaan negeri Selangor yang dihubungi enggan melayan sebarang gesaan astau saranan Khalid.

 

Kata sumber berkenaan, pentadbiran Azmin akan memuktamadkan pelan penstrukturan semula industri air dalam masa terdekat.

 

“Kami akan menandatangani pelan berkenaan dan semua pihak akan diam,” kata sumber berkenaan melalui mesej ringkas kepada Astro AWANI.

 

Azmin sebelum ini dilaporkan sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan beberapa isu berbangkit yang menghalang daripada pihaknya memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor.

 

Bulan lalu, Syabas memberi amaran isu-isu berkaitan dengan penstrukturan semula industri air perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air kerana rizab Lembah Kelang kini berada di bawah paras lima peratus.

 

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata projek Langat 2, projek bekalan air utama bagi Selangor dan Kuala Lumpur sangat diperlukan sekarang.

 

Ia bagi memenuhi keperluan penduduk dan industri di Lembah Kelang sehingga 2025. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.