Najib Ambil Tindakan Undang-Undang Tangani Tuduhan Liar

SEMENYIH – Datuk Seri Najib Razak sudah merujuk kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk memfailkan saman berhubung tuduhan liar kononnya kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

 

Perdana Menteri berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

 

“Saya sudah rujuk kepada peguam dan menerima nasihat untuk melihat menerusi perspektif undang-undang berkaitan tuduhan membabitkan 1MDB yang cukup jahat.

 

“Ini termasuk tuduhan bahawa saya ‘songlap’ ataupun curi AS$700 juta duit 1MDB dan memasukkannya ke akaun peribadi saya.

 

“Insya-Allah, saya akan buat keputusan sikit hari lagi, sebelum ambil tindakan sama ada kepada pihak di dalam atau luar negara,” katanya ketika menghadiri Iftar Rakyat Negeri Selangor, di sini, semalam.

 

Jumaat lalu, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa sejumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan kepada akaun peribadi Najib pada 2013, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

 

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

 

1MDB juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib. WSJ, bagaimanapun mempertahankan berita itu yang didakwanya berdasarkan bukti kukuh. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.