Pinjam RM1,000 Tapi Kena Bayar RM6,000

KOTA TINGGI – Angkara meminjam RM1,000 daripada along, mangsa lintah darat itu terpaksa menanggung hutang sehingga RM6,000 kerana kadar bunga melampau dikenakan apabila gagal membayarnya mengikut jadual.

 

Lebih malang, motosikal milik mangsa juga dirampas along terbabit sebagai cagaran sehingga pinjaman dan faedah harian berganda itu dilunaskan.

 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berdasarkan laporan diterima, mangsa membuat pinjaman terbabit pada Oktober tahun lalu.

 

Beliau berkata, susulan pinjaman itu, mangsa diarah membayar balik pinjaman secara harian sebanyak RM30 sehari selama 100 hari.

 

“Kegagalan mangsa membayar balik seperti diarahkan atau menangguh bayaran menyebabkan kadar faedahnya meningkatkan jumlah hutang itu sehingga mencecah RM6,000.

 

“Malah, motosikal milik mangsa turut dirampas pemberi pinjaman tanpa lesen itu sebagai cagaran sehingga pinjaman serta faedah harian berganda itu dilunaskan,” katanya, semalam.

 

Rahmat berkata, dalam usaha membanteras kegiatan ceti haram sekitar daerah ini, pihaknya melancarkan Ops Vulture sempena Ramadan bagi membendung perbuatan menampal risalah, poster dan pelekat menawarkan pinjaman haram itu.

 

Katanya, hasil operasi, empat lelaki yang berperanan sebagai pengutip hutang serta penawar pinjaman dikesan polis yang menyamar sebagai peminjam wang.

 

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek itu, polis merampas 834 keping pelekat ceti haram yang dipercayai untuk dilekatkan pada tiang lampu sekitar bandar ini,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.