Penjual Kuih Akok Maut Disambar Petir

PASIR PUTEH – Seorang penjual kuih akok, Muhammad Abdul Aziz Ibrahim, 26, maut disambar petir manakala ibunya cedera parah di Kampung Air Tawar, Tok Bali di sini semalam.

 

Abang ipar Muhammad iaitu Mohd Abdullah Nawi, 31, berkata mangsa dan ibunya Wan Minah Wan Ibrahim, 59, sedang membakar kuih akok di sebuah gerai di tepi jalan di kampung tersebut dalam kejadian 6.30 petang itu.

 

“Muhammad melecur dan hangus pada bahagian paha dan dada manakala telefon bimbit miliknya yang berada di dalam poket kanan seluarnya turut pecah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

 

Mohd Abdullah berkata Wan Minah yang cedera pada badan, kini menerima rawatan di Hospital Tengku Anis (HTA) di sini, dan masih tidak sedarkan diri.

 

Ketika kejadian, Mohd Abdullah berkata dia berada di rumahnya kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

 

“Secara tiba-tiba saya terdengar dentuman guruh yang kuat. Saya mula tidak sedap hati selepas kedua-duanya tidak kelihatan di dalam gerai itu lalu mengambil keputusan melihat sendiri dan terkejut mendapati kedua-duanya sudah rebah,” katanya.

 

Mohd Abdullah berkata mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di atas acuan akok yang sedang dimasak manakala Wan Minah dalam keadaan tertiarap atas tanah.

 

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad mengesahkan polis menerima aduan mengenai kematian yang disebabkan petir serta kejadian ribut yang berlaku di kampung berkenaan.

 

Beliau berkata jenazah mangsa dihantar ke HTA untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya pada 10.30 malam tadi untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Air Tawar. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.